fbpx

Situasi jangkitan semakin pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Situasi penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia semakin pulih dalam beberapa minggu kebelakangan ini khususnya daripada aspek purata kes harian, jumlah kluster, kadar vaksinasi dan kapasiti hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhan trend menurun sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 bagi indikator utama seperti kes harian, kes aktif, kematian, kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurutnya, pada ME ke-40 iaitu dari 3 Oktober hingga 9 Oktober 2021, terdapat 63,722 kes Covid-19 dilaporkan berbanding 83,368 kes pada ME ke-39 (penurunan sebanyak 23.6 peratus) dan penurunan ini berlaku secara konsisten sejak enam minggu kebelakangan (ME ke-34).

“Sebanyak 133,806 kes aktif dilaporkan pada ME ke-40 (penurunan 21.0 peratus berbanding ME ke-39) serta 700 kes kematian dengan purata 100 kes kematian sehari pada ME ke-40 (penurunan 50.2 peratus berbanding ME ke-39).

“Terdapat 778 kes memerlukan rawatan di ICU (penurunan 9.0 peratus berbanding ME ke-39), 331 kes memerlukan bantuan pernafasan (penurunan sebanyak 11.2 peratus berbanding ME ke 39) dan penurunan nilai R-Naught (Rt) sebanyak 0.2 peratus bagi setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi kluster pula, sebanyak 79 kluster dilaporkan dalam ME ke-40 dan daripada jumlah itu, terdapat penurunan sebanyak 21 kluster berbanding ME ke-39 (penurunan sebanyak 21.0 peratus).

Katanya, selain itu, 43 kluster (54.4 peratus) pula merangkumi kluster tempat kerja, 25 kluster komuniti (31.7 peratus), enam kluster kumpulan berisiko tinggi (7.6 peratus) dan lima kluster keagamaan (6.3 peratus).

Dr. Noor Hisham berkata, sehingga semalam sejumlah 24,963,595 individu mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 dan sebanyak 90.0 peratus daripada populasi dewasa menerima suntikan lengkap serta 65.2 peratus daripada keseluruhan penduduk menerima vaksin lengkap.

“Untuk kapasiti hospital pula, sebanyak 16,199 katil wad biasa dan 1,514 katil wad ICU telah diperuntukkan bagi merawat pesakit Covid-19. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,164 katil yang digunakan sepanjang ME ke-40 berbanding minggu sebelumnya (penurunan sebanyak lima peratus).

“Sebanyak 16,912 katil digunakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC). Ini adalah penurunan tiga peratus berbanding minggu sebelumnya, manakala bagi katil ICU, penggunaan adalah sebanyak 831 katil (penurunan sebanyak tujuh peratus berbanding ME ke-39).

“Terdapat 1,267 alat bantuan pernafasan awam yang digunakan (penurunan sebanyak tiga peratus daripada minggu sebelumnya),” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI