fbpx

Elyana buntu, kos ubat kemoterapi cecah RM250,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELYANA bakal menjalani sesi kedua kemoterapi pada Jumaat ini.

PETALING JAYA – “Saya sendiri pun tak tahu mana nak cari duit sebanyak itu dalam keadaan tak boleh bekerja sekarang.”

Itu luahan kerisauan penyanyi Elyana atau nama sebenarnya Erneelyana Elyana Emrizal, 34, saat bercerita tentang kos sesi kedua rawatan kemoterapi yang bakal dimulakan menjelang Jumaat ini.

“Doktor ada cadangkan saya gunakan sejenis ubat khas bagi sesi kedua kemoterapi yang harganya mencecah RM50,000 untuk satu sesi,” kata Elyana yang baru sahaja selesai menjalani rawatan kemoterapi bagi sesi pertama minggu lalu akibat kanser limfoma yang dihidapinya.

Buat masa ini, pelantun lagu Kalis Rindu itu dan suaminya kini masih dalam proses perbincangan bersama pihak pengeluar ubat tersebut mengenai harga atau mungkin mendapatkan tajaan separuh harga ubat berkenaan.

“Jujur memang buntu fikirkan perkara ini. Dalam keadaan pendapatan yang merosot dan terjejas sebab tidak boleh bekerja.

“Kos rawatan pula tinggi. Saya difahamkan ubat khas tersebut perlu digunakan untuk lima kali rawatan sepanjang proses kemoterapi berjalan, maknanya kami memerlukan sekitar RM250,000 untuk keseluruhan sesi kedua nanti,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menerusi satu hantaran berbeza Instagramnya, pelantun lagu Kalis Rindu itu turut berkongsi beberapa kesan sampingan yang dialami usai menjalani kemoterapi pertama.

“Paling saya rasakan adalah mata saya semakin kabur dan menjadi rabun dan itu menyebabkan saya sakit mudah diserang sakit kepala. Kadang-kadang, tengok telefon sekejap pun boleh pening,” katanya lagi.

Terdahulu, Elyana membuat pendedahan tentang penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya ketika siaran langsung konsert Gegar Vaganza musim keempat pada 2017.

Kanser tersebut turut menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya seperti rahim, hati dan pangkal paha. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI