SETIAP orang pasti ada hobi tersendiri bagi mengisi masa lapang dan dijadikan sebagai punca pendapatan seperti membela kucing.
Seorang kontraktor, Mohd. Noor Ramdzon Mohd. Tafri, 57, dari Kampung Batu 13, Tempoyang, Lipis, Pahang mempunyai hobi yang agak berbeza daripada biasa iaitu menternak landak raya.
Dia kini mempunyai 160 ekor landak dengan purata berat bagi seekor landak yang dipeliharanya adalah antara 10 kilogram (kg) hingga 18kg dengan harga pasaran bagi sepasang landak ialah kira-kira RM4,000 hingga RM5,000.
Mohd. Noor Ramdzon bercadang untuk mula menjual landak-landak ini apabila bilangannya telah mencapai lebih 300 ekor dan saya akan memastikan bakanya sentiasa ada serta tidak terputus.
——————————————————————————————————————————————————————-
LANDAK raya atau nama saintifiknya Hystrix brachyura ialah haiwan mamalia berdarah panas dengan badannya dipenuhi duri-duri yang sering dianggap boleh membahayakan serta memberi ancaman kepada manusia mahupun haiwan lain.
Memang tidak ramai yang mahu menjadikan hidupan eksotik itu sebagai haiwan peliharaan kerana landak raya bukanlah haiwan yang boleh dibelai atau dipegang memandangkan duri tajamnya dikhuatiri boleh mencederakan siapa sahaja dalam sekelip mata.
Namun, seorang kontraktor, Mohd. Noor Ramdzon Mohd. Tafri, 57, tidak menyangka bermula dengan hanya ‘suka-suka’ memelihara beberapa ekor landak raya dirinya bagaikan telah ‘terpukau’ dengan haiwan tersebut sehingga memutuskan untuk memelihara lebih banyak lagi landak raya dan kini mencecah 160 ekor.
“Asalnya saya membela lima ekor sahaja pada tahun 2015, kemudian saya rasa semakin berminat dan tambah lagi 20 ekor sebelum haiwan ini terus membiak dengan begitu cepat. Sehingga kini, saya masih tidak menjual landak-landak ini.
“Saya terdorong untuk memelihara landak ini juga adalah kerana saya fikir agak sukar untuk mendapatkan baka landak dalam jumlah yang banyak dan saya mahu pastikan haiwan ini tidak pupus,” katanya ketika ditemui Panorama di Kampung Batu 13 Tempoyang, Lipis, Pahang baru-baru ini.

Menurut Mohd. Noor, dia telah mengeluarkan kos yang banyak iaitu kira-kira RM200,000 bagi menyediakan kandang dibuat daripada simen yang dibahagikan kepada blok-blok pengasingan untuk landak-landak berkenaan.
Katanya, pada masa ini dia juga menghabiskan perbelanjaan kira-kira RM2,000 sebulan bagi menyediakan makanan seperti jagung kering, buah-buahan dan sayur-sayuran kepada landaknya yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Menurutnya, ketika ini purata berat bagi seekor landak yang dipeliharanya adalah antara 10 kilogram (kg) hingga 18kg dengan harga pasaran bagi sepasang landak ialah kira-kira RM4,000 hingga RM5,000.
“Saya bercadang untuk mula menjual landak-landak ini apabila bilangannya telah mencapai lebih 300 ekor dan saya akan memastikan bakanya sentiasa ada serta tidak terputus.
“Sebenarnya landak ini memang senang membiak kerana boleh beranak dua kali setahun, malah haiwan ini juga sering melahirkan anak kembar sehingga tiga ekor sekali gus. Landak juga sebenarnya tidaklah berbahaya dan boleh menjadi jinak,” ujarnya.

Ditanya mengenai aspek penjagaan haiwan berkenaan, Mohd. Noor berkata, penjagaannya amat mudah dengan kandangnya hanya perlu dicuci setiap hari bagi memastikan kebersihannya terjamin.
Landak juga kata Mohd. Noor tidak cerewet dalam aspek pemakanan apabila haiwan ini makan semua jenis buah atau sayur yang turut ditanam di kawasan kebunnya.
“Setakat ini juga landak yang saya pelihara ini tidak pernah sakit. Saya tidak jumpa lagi yang sakit dan memerlukan ubat atau rawatan. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga ada datang memantau secara berkala,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai khasiat dan kelebihan daging landak, Mohd. Noor berkata, dia tidak arif tentang perkara itu tetapi ramai individu mahu mendapatkan hempedunya yang dikatakan baik untuk tujuan perubatan.

Menurut Mohd. Noor, dia difahamkan, di Kedah, landak digunakan dalam perubatan termasuk dijadikan minyak urut dan sebagainya.
“Pada masa ini, landak raya boleh diternak secara komersial di Malaysia dengan perlu mendapatkan permit daripada Perhilitan,” kata Mohd. Noor.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md. Yassin berkata, lesen dan permit diperlukan bagi tujuan menternak serta menangkap landak yang merupakan haiwan dilindungi.
Beliau memberitahu, pada masa ini landak raya dan landak nibong dikategorikan dalam Jadual 1 Hidupan Liar Diperlindungi, manakala landak padi dalam Jadual 2 Hidupan Liar Diperlindungi Sepenuhnya.

“Kadar bayaran lesen bagi menangkap landak padi ialah RM500 seekor dan menyimpannya pula RM20 seekor. Bagi landak raya pula lesen menangkapnya RM10 seekor dan menyimpannya RM10 seekor, manakala landak nibong RM50 seekor bagi menangkap dan RM20 seekor bagi menyimpan.
“Sehingga kini, terdapat lima pemegang permit pembiakbakaan landak dalam kurungan komersial di dalam negeri Pahang,” ujarnya.














