fbpx

Kepanasan ‘Malam Semakin Dingin’ Tajul, Afieq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAJUL dan Afieq Syazwan kini meledak dengan lagu nyanyian semula berjudul, Malam Semakin Dingin.

ADAKALANYA, perancangan tanpa sengaja memberi kesan dan pulangan yang sama sekali tidak dijangka. Pendek kata, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Demikian keadaan yang sedang dilalui dua penyanyi muda iaitu Tajul Ariff dan Afieq Shazwan selepas gabungan mereka menerusi single saduran semula Malam Semakin Dingin menuai perhatian luar biasa daripada peminat.

Sejak diluncurkan secara rasmi menerusi saluran YouTube FMC Music pada 15 September lalu, lagu berkenaan pantas mendaki tangga trending dalam YouTube apabila menduduki tempat kedua di belakang lagu Lalisa, nyanyian Lisa Blackpink.

Sesuatu yang di luar jangkaan. Itu reaksi awal yang diluahkan Tajul ketika mengulas tentang penerimaan lagu nyanyian dendangan asal Achik Spin yang disuntik nafas baharu tersebut sewaktu dihubungi HibGlam baru-baru ini.

“Sangat tak sangka (trending) sebab kalau diikutkan, agak susah untuk tengok industri lokal menjadi trending.

“Dapat duduk di tangga kedua pun sudah cukup besar maknanya bagi kami.

AFIEQ dan Tajul menyifatkan diri mereka sebagai perantara yang menyampaikan pembaharuan dalam lagu Malam Semakin Dingin. Lagu berkenaan juga dianggap sebagai pengubat rindu peminat terhadap Achik Spin.

“Sebab semua orang tahu, sekarang lagu Lalisa mendominasi mana-mana platform penstriman. Jadi dapat nombor dua pun sudah jadi kebanggaan dan bersyukur sangat,” luahnya.

Tajul mendedahkan, pada asalnya, dia merancang untuk merakamkan Malam Semakin Dingin bersama seorang pengguna TikTok yang pernah tular gara-gara menyanyikan lagu tersebut beberapa bulan lalu tetapi tidak kesampaian.

“Dia sudah dilamar syarikat lain, jadi tiada rezeki nak rakam lagu ini bersamanya. Sehinggalah syarikat rakaman kami mencadangkan agar saya rakam bersama Afieq, memandangkan sebelum ini dia juga pernah menyanyikan ‘cover’ lagu tersebut.

“Pemilihan Afieq sekali gus menyuntikkan kelainan sebab ramai tahu genre yang dibawakannya sebelum ini adalah berentak pop.

“Kali ini kami berikan kelainan,” ujarnya dilihat cukup serasi menyanyikan semula dendangan asal arwah abang kandungnya itu.

SEJAK diluncurkan secara rasmi menerusi saluran YouTube FMC Music pada 15 September lalu, lagu Malam Semakin Dingin nyanyian Tajul dan Afieq mendaki tangga trending dalam YouTube apabila menduduki tempat kedua di belakang lagu Lalisa, nyanyian Lisa Blackpink.

Tak merancang

Selepas dua minggu, kedudukan Malam Semakin Dingin turun satu anak tangga apabila menghuni nombor ketiga trending YouTube selepas ditolak oleh lagu Money, juga nyanyian Lisa.

Bagaimanapun, jika ‘tolak tepi’ kedua-dua buah lagu nyanyian Lisa, Malam Semakin Dingin sebenarnya juara di hati peminat lokal memandangkan lagu berkenaan kekal di tangga tertinggi tanpa digugat mana-mana karya baharu penyanyi tempatan.

Biarpun karya saduran semula, namun Tajul atau nama lengkapnya Tajul Ariff Noor Md. Shari, tetap berdepan cabaran sehingga terpaksa melalui proses rakaman sebanyak tiga kali sebelum berjaya mendapatkan kesempurnaan.

“Semua lagu susah. Untuk lagu ini pun saya rakam tiga kali, barulah dapat sempurna seperti apa yang dimahukan syarikat rakaman.

“Cuma saya tidaklah ubah banyak cara penyampaian sebab ini lagu Spin, jadi nyanyian perlu ikut gaya Achik.

“Kena kekalkan lenggok tapi dengan cara saya sendiri tanpa perlu diubah banyak,” jelasnya.

MASING-masing ada keistimewaan. Itu jawapan ringkas Tajul ketika ditanya dengan pandangan sesetengah pihak yang membandingkan jika lagu Malam Semakin Dingin lebih sesuai dinyanyikan oleh seorang lagi abangnya, Khalis.

Perkara tersebut turut diakui Afieq sepanjang melunaskan tanggungjawab menyanyikan semula karya yang sebelum ini terkandung dalam Spin berjudul Spin 2 Litar Asmara (2001) tersebut.

“Susah untuk saya bawa lagu ini sebab semua orang tahu saya tak pernah menyampaikan genre slow rock. Tapi saya sukakan cabaran ini sebab dapat belajar benda baharu.

“Cabaran yang saya maksudkan adalah dari segi kajian apabila saya perlu mendengar macam-macam jenis nyanyian daripada penyanyi-penyanyi era 1990-an. Paling penting, pembawakan karakter dalam lagu ini agar sesuai dengan diri saya,” katanya.

Tanpa disangka, kemunculan Afieq menerusi Malam Semakin Dingin menerima pujian melangit daripada pendengar yang rata-ratanya mengagumi bakat penyanyi muda itu kerana berani keluar dari kepompong.

Dia yang cukup terkenal dan diterima ramai dengan genre rancak seperti lagu Lelaki Di Telefon dan Gerak Lu menonjolkan sisi berbeza apabila mencuba bentuk muzik yang lain daripada personalitinya sebelum ini.

PERNAH mengubah jalur muziknya dengan mencuba genre rancak tetapi disebabkan kurang mendapat sambutan, Tajul kembali ke zon selesanya dengan kekal memperjuangkan irama balada.

“Memang jauh sangat bezanya. Secara jujur, saya memang suka genre slow rock seperti ini.

“Cuma sebelum ini saya ikut kehendak pendengar yang suka saya nyanyi lagu rancak. Tak sangka juga selepas keluar dengan lagu Malam Semakin Dingin, ramai pula yang suka.

“Kalau ada rezeki, apa salahnya saya akan keluarkan lagu sebegini pada masa depan. Sebab saya sendiri pun membesar dengan karya-karya era 1990-an,” katanya teruja.

AFIEQ SYAZWAN mengharapkan apa sahaja komen sama ada negatif atau positif kerana dari situ, dia belajar mencermin diri dan memperbaiki kekurangan untuk projek akan datang.

Pasca PKP

Di sebalik kesibukan mempromosikan Malam Semakin Dingin, penyanyi juga pelakon berusia 24 itu ada satu lagi kelainan yang bakal dipersembahkan kepada peminat.

Sejak industri hiburan kembali bernafas dan dibenarkan bekerja, Afieq juga sedang mempersiapkan diri untuk penggambaran sebuah drama episod berjudul Diari Seorang Suami siaran slot Lestary TV3.

Menariknya kata Afieq tentang naskhah tersebut, ini merupakan kali pertama dia memegang watak suami dan menggalas cabaran memikul karakter berat.

“Saya tak pernah bawa watak suami dan karakter yang berat. Dalam drama ini, saya digandingkan dengan Yuna Rahim, Keith Foo, Syanie dan Fimie Don.

“Untuk perancangan lagu baharu pula, insya-Allah hujung tahun ini saya akan keluarkan. Seperti lagu-lagu saya yang lain, memang saya ambil waktu hujung tahun untuk dilancarkannya kepada peminat.

“Genre apa? Nantikan. Saya masih memilih beberapa demo sebab tidak tahu nak keluarkan genre apa. Tapi memandangkan ramai suka saya bawa lagu slow rock dalam Malam Semakin Dingin, jadi mungkin boleh difikir-fikirkan,” ujarnya.

Gabungan mereka yang serasi bersama berpadu vokal dalam Malam Semakin Dingin menumbuhkan rasa teruja peminat yang mahu melihat Tajul dan Afieq mengeluarkan lagu duet sendiri selepas ini.

Mengulas tentang permintaan tersebut, Tajul tidak menolak kerana sememangnya mereka sudah ada perancangan untuk menghasilkan lagu ‘cover’ Spin yang lain.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, boleh buat banyak lagu Spin untuk versi baharu.

“Untuk saya sendiri, belum ada perancangan lagi. Kalau ada projek baharu, nanti kami akan kongsikan kepada semua,” tuturnya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI