fbpx

Kegiatan melombong kaolin sebabkan pencemaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Arafat Varisai Muhammad (kanan) bersama Abdul Aziz Abdul Manaf (kiri) menunjukkan pencemaran sungai berpunca aktiviti perlombongan kaolin di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Pengusaha ternakan ikan air tawar di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan di sini bimbang sumber pendapatan mereka terjejas akibat pencemaran sungai yang berpunca daripada aktiviti perlombongan kaolin di kawasan berhampiran.

Perlombongan mineral itu dipercayai diusahakan secara haram sejak sebulan lalu menyebabkan air sungai berubah warna menjadi keruh sehingga memberi kesan kepada 65 kolam ternakan ikan.

Pengerusi Persatuan Agro Kampung Kolam, Abdul Aziz Abdul Manaf berkata, keadaan itu amat membimbangkan tambahan lagi apabila terdapat ikan ditemui mati dipercayai akibat pencemaran tersebut.

“Kegiatan tersebut memberi kesan besar kepada aktiviti harian penternak di sini kerana sumber air sungai yang mengalir ke dalam kolam ternakan kami telah tercemar dengan kualiti air yang terjejas.

“Keadaan ini amat mengecewakan kami kerana pelepasan sisa perlombongan ke sungai berhampiran juga akan mengganggu ekosistem akuatik,” katanya ketika ditemui di lokasi perlombongan kaolin di Kampung Kolam di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Muhamad.

Abdul Aziz yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Kolam berkata, mereka juga kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pengusaha projek itu apabila membuang pokok-pokok yang ditebang ke dalam sungai.

“Penebangan pokok itu untuk membina jalan baharu bagi tujuan membawa keluar kaolin dan kami bimbang keadaan ini akan membawa kepada kejadian buruk tambahan lagi sekarang musim hujan.

“Kalau berlaku kepala air akan menghanyutkan pokok dan kayu-kayu itu hingga merosakkan empangan yang dibina untuk disalurkan ke kolam ternakan,” katanya.

Terdapat 15 pengusaha terlibat secara aktif menerusi pelbagai jenis ternakan ikan air tawar termasuk tilapia merah, tilapia hitam, baung, patin, jelawat, rohu dan tongsan. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI