fbpx
VIDEO parodi yang dilakukan Catriona, Jihan dan Danial merupakan aksi lakonan semula mereka ketika kejutan hari lahir daripada Iqbal kepada Vida (kiri).

Iqbal terkilan, depresi kerana video parodi, Catriona Ross mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Gara-gara video parodi berlakon sebagai Datuk Seri Vida disalah anggap, pelakon Catriona Ross semalam tampil memohon maaf kepada usahawan berkenaan dan bekas pembantu peribadinya iaitu Ahmad Iqbal Zulkefli.

Dalam beberapa buah video InstaStory, Catriona mengambil masa yang lama untuk menjawab semua tuduhan dan ketidakpuasan hati Iqbal kerana sibuk dengan urusan keluarga.

Catriona atau lebih mesra dengan panggilan Kak Kek menafikan tuduhan Iqbal yang mendakwa video parodi tersebut dilakukan semata-mata kerana wang ringgit.

“Saya minta maaf kerana ambil masa yang lama untuk membalas anda. Saya sibuk menguruskan keluarga di rumah walaupun Iqbal merasakan Kak Kek sengaja nak berdiam diri.

“Hakikatnya apabila di rumah, masa kita sangat padat. Menjawab isu pertanyaan Iqbal adakah saya melakukan parodi itu disebabkan duit? Saya nak jelaskan kepada Iqbal, tidak semua benda dalam hidup saya berkiblatkan duit,” katanya.

Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi drama Sephia itu, video parodi tersebut dilakukannya atas dasar kerja sekali gus menafikan tuduhan dia menerima tawaran lumayan.

“Sebagai seorang profesional, saya akan melakukan tugas mengikut kehendak, keperluan dan profesionalisme sebagai seorang pelakon.

“Tetapi menghormati pandangan dan perasaan Iqbal, saya minta maaf dengan hati yang terbuka. Mudah-mudahan Iqbal berasa lebih tenang dan damai selepas ini.

“Saya juga terkejut apabila Iqbal mengatakan dia mengalami depresi kerana masalah tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia juga sempat menitipkan pesanan kepada Iqbal agar berani dan terus kuat untuk menghadapi sebarang dugaan.

“Sebagai seorang kakak kepada seorang adik dan jauh lebih matang, saya nak nasihatkan Iqbal. Sekiranya takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai dik. Memang susah! Memang ujian kita sangat dahsyat.

“Kepada Iqbal yang seolah-olah menceburi dunia selebriti, dunia di mana orang mengenali kita, Iqbal kena sangat kuat.

“Jangan ambil benda yang kecil sebagai satu kudis dan mudah-mudahan Iqbal menerima permohonan maaf saya ini. Terima kasih,” katanya lagi.

Sementara, Iqbal turut memohon maaf sekiranya segala dakwaannya melukan hati Catriona.

“Saya minta maaf seandainya kata-kata saya mengguris hati. Akak orang baik dan ramai sayang,” katanya dalam ruangan komen hantaran Instagram Catriona.

Terdahulu, sebuah video parodi MeleTOP lakonan Catriona, Jihan Muse dan Danial Zain yang melakonkan semula babak kejutan hari jadi Iqbal kepada Vida tular dalam media sosial.

Video parodi berkenaan mendapat perhatian ramai termasuklah Iqbal yang berpendapat hatinya terguris dan terkilan dengan gurauan tersebut. – K! ONLINE

POPULAR