fbpx
DUA selebriti bergaya dengan persalinan hitam dan putih pada satu acara karpet merah baru-baru ini.

Strategi karpet merah laris jualan fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

FAKTOR artis tersohor dengan gaya fesyen terkini yang dipamerkan mereka pada satu-satu acara pasti menarik jutaan penonton terutamanya selebriti dari Barat. Fesyen tersebut pasti menjadi ikutan ramai.

Dalam banyak-banyak program dan acara, segmen karpet merah sudah lama menjadi tumpuan peminat fanatik artis kesayangan mereka. Program-program televisyen yang menyiarkan liputan acara karpet merah sempena anugerah-anugerah utama filem, televisyen dan muzik di seluruh dunia pastinya mencecah ratusan juta penonton.

Selain menampilkan ikon suka ramai yang menjadi igauan setiap peminat, segmen karpet merah turut mempunyai objektif tertentu. Antaranya, itulah masa penata fesyen terkemuka memperkukuhkan jenama masing-masing di mata jutaan mata yang menonton.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————-

 

Oleh FAIZAL HAMID

BARU-BARU ini, beberapa acara anugerah berprestij seperti Anugerah Emmy ke-73, Venice Film Festival dan acara gala di Metropolitan Museum of Art, New York, Amerika Syarikat berakhir dengan begitu gemilang.

Sememangnya segmen karpet merah pada majlis-majlis anugerah hiburan tempatan dan antarabangsa menjadi antara acara yang cukup memberikan impak, khususnya kepada selebriti serta mereka yang terlibat dalam industri fesyen seperti pereka fesyen dan penata gaya.

Lihat sahaja program-program televisyen yang menyiarkan liputan acara karpet merah sempena anugerah-anugerah utama filem, televisyen dan muzik di seluruh dunia pastinya mencecah ratusan juta penonton.

Program-program televisyen itu merakamkan setiap inci penampilan selebriti, merangkumi tata rias wajah dan rambut, rekaan pakaian, aksesori dan kasut dari segala sudut.

Tidak hanya bertujuan memeriahkan acara yang bakal berlangsung, karpet merah realitinya turut menyimpan pelbagai ‘kisah’, objektif atau anekdot di sebaliknya.

1. Mengukuhkan penjenamaan label

Jenama-jenama fesyen antarabangsa dan tempatan sememangnya sedar betapa hebatnya pengaruh kuasa karpet merah sebagai senjata bagi mempromosi serta mengukuhkan penjenamaan label mereka.

Pereka fesyen kini tahu kuasa selebriti dalam memasarkan produk kepada khalayak. Rekaan gaun yang dipakai selebriti popular bagi menghadiri anugerah-anugerah berprestij menjadi tarikan atau tumpuan ratusan ribu pembeli yang berpotensi, seterusnya menyebabkan bakal pembeli itu tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang jenama atau pereka gaun tersebut.

Rumah-rumah fesyen utama antarabangsa seperti Chanel, Versace dan Armani telah sekian lama menggunakan pengaruh kuasa selebriti sebagai mekanisme untuk mengukuhkan jenama serta paling penting bagi mempertingkat jualan dan memperluas pasaran mereka.

Ia juga bukan hanya tertakluk pada rekaan pakaian tetapi termasuklah koleksi produk yang lebih mampu milik seperti kosmetik dan aksesori.

Kini, konsep celebrity dressing pantas menjadi salah satu cara paling mudah dan berkesan bagi para pereka atau jenama baharu untuk bertapak.

2. Pengaruh selebriti

Pengaruh-pengaruh selebriti tersebut cukup memberikan lonjakan hebat dari segala segi. Rentetan jalinan kolaboratif yang berterusan itu telah memantap dan menaikkan hasil jualan jenama-jenama tersebut di seluruh dunia.

Sama ada kita akui atau tidak, pengaruh selebriti memberikan impak kuat serta membuka ruang yang lebih besar terutamanya kepada pereka baharu untuk lebih dikenali serta mendapatkan peluang-peluang perniagaan yang sebelum ini tidak pernah terfikir oleh pereka.

Paling utama, pereka dan selebriti perlu mempunyai kesefahaman dan keserasian dalam proses usaha sama mereka.

Untuk mencapai kesempurnaan, pereka dan selebriti perlu bersama-sama memikirkan idea atau inspirasi, membuat penyelidikan dalam penghasilan karya rekaan yang menarik, segar, unik, original, miliki nilai estetika tinggi, praktikal dan komersial.

Paling penting, perlu sesuai dengan ruang lingkup budaya setempat dan pada masa sama sealiran dengan trend global.

PENAMPILAN unik Kim Kardashian pada acara gala Metropolitan Museum of Art, New York, Amerika Syarikat mengundang perhatian baru-baru ini.

3. Persediaan rapi

Apapun perlu diingat, kadangkala jalinan kolaboratif antara pereka dengan selebriti itu ada yang berjaya, namun banyak juga yang hasilnya kurang memberangsangkan dan mengundang kritikan.

Ramai pereka yang berpengalaman dalam industri menasihatkan agar para pereka muda terutamanya supaya tidak terlalu terburu-buru untuk mendapatkan limelight pada acara karpet merah tanpa membuat persediaan yang rapi.

Kadangkala ramai yang menghasilkan rekaan yang tidak mempunyai identiti tulen, tidak sesuai dengan konsep acara, tidak sesuai dengan potongan badan, warna kulit serta personaliti atau imej selebriti serta tata gaya yang sedikit outdated atau terlalu mencuba.

4. Kritikan fesyen

Kini dengan adanya laman sosial popular seperti Facebook, Twitter dan Instagram, setiap inci penampilan selebriti diperdebatkan sepantas kilat serta dengan mudah.

Lumrah kehidupan, ada masa rekaan dipuji melangit tetapi ada masa juga dicerca. Semua orang mahu memberikan pendapat walaupun sebahagian besarnya tiada ilmu fesyen. Lambat laun pereka-pereka baharu akan belajar mengharungi segala kritikan.

5. Legasi masa depan

Fesyen sememangnya sesuatu yang sangat subjektif, namun begitu setiap pereka mempunyai tanggungjawab untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat supaya mampu menjadi legasi yang boleh dikenang untuk masa depan.

Fesyen juga bukan hanya tentang glamor, sebaliknya, ia merupakan komentar sosial serta cerminan masa seni itu sendiri.

Pereka perlu lebih terbuka dalam menerima idea baharu dan sentiasa mendengar keperluan industri, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang penuh cabaran serta sentiasa berubah.

—————————————————————————————————————————————————————
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN