fbpx

Sindiket tipu jual beli alat ganti kenderaan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Kamarudin (kiri) menunjukkan antara barangan alat ganti kenderaan yang dirampas menerusi beberapa siri serbuan di sekitar daerah Kuantan, Pahang pada 24 September lalu.

KUALA LUMPUR – Tindakan satu sindiket menipu pembekal dan peniaga alat ganti kenderaan dengan menggunakan slip pembayaran perbankan berjadual atau ‘Inter Bank Giro’ (IBG) tidak berpanjangan apabila diserbu pihak polis Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki yang mendakwa telah ditipu dalam urusan pembelian barangan alat ganti kenderaan.

“Susulan laporan itu, sepasukan polis dari JSJK Bukit Aman telah melakukan serbuan di sekitar daerah Kuantan, Pahang dan berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia 23 hingga 60 tahun hasil maklumat dan risikan dilakukan.

“Soal siasat yang dilakukan kemudiannya telah membawa pasukan serbuan ke beberapa buah rumah yang dijadikan sebagai stor simpanan alat tukar ganti kenderaan di sekitar negeri itu,” katanya pada satu sidang akhbar di Balai Polis Jinjang di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo, Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJK Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Willie Richard serta Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Menurut Mohd. Kamarudin, pasukan serbuan turut merampas sejumlah alat tukar ganti kenderaan yang dianggarkan bernilai RM936,783 dan percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kertas siasatan melibatkan aktiviti sindiket berkenaan.

“Sindiket ini menyasarkan pembekal serta peniaga barangan alat ganti kenderaan dengan menggunakan modus operandi menyerahkan slip pembayaran perbankan berjadual kepada mangsa dengan menipu bahawa pembayaran telah dibuat.

“Mangsa kemudiannya akan diminta untuk menghantarkan barangan tersebut ke alamat yang telah diberikan oleh sindiket yang telah dikesan aktif sejak Mac hingga Ogos lalu itu,” ujar beliau.

Jelas beliau, setelah barangan alat ganti kenderaan diterima, sindiket akan bertindak membatalkan segera pembayaran perbankan menerusi IBG itu dan melarikan barangan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Mohd. Kamarudin turut memaklumkan pihaknya menerima sebanyak 23 kes dengan kerugian berjumlah RM566,397 membabitkan kegiatan penipuan menggunakan slip pembayaran perbankan berjadual atau dikenali sebagai ‘Fly by Night’ sejak tahun lalu.

“Bagi tempoh 1 Januari lalu hingga semalam pula, sebanyak 43 kes membabitkan Fly by Night dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM3.25 juta telah diterima pihak polis,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI