fbpx

Kerajaan peruntuk RM9.6 bilion untuk BPR 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul

PUTRAJAYA – Kerajaan telah memperuntukkan RM9.6 bilion secara keseluruhan bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang dimanfaatkan 8.5 juta penerima pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain BPR, masih terdapat bantuan tunai lain yang bakal disalurkan kepada golongan layak.

Menurutnya, Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Oktober hingga Disember depan.

“Kesemua bantuan tunai yang diperuntukkan oleh kerajaan termasuk BPR sehingga hujung tahun 2021 bernilai RM17.1 bilion dan dijangka akan memanfaatkan lebih 10 juta penerima,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, proses pengkreditan Fasa 3 dan Rayuan BPR akan dilaksanakan mulai Selasa ini.

Menurut beliau, pembayaran Fasa 3 dan Rayuan BPR itu akan memanfaatkan 3.6 juta penerima yang terdiri daripada penerima sedia ada kategori isi rumah.

Turut menerima manfaat tersebut, ujar beliau adalah mereka yang telah lulus Rayuan BPR melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.

“Untuk BPR Fasa 3, setiap penerima bakal menerima sehingga RM1,400 manakala penerima bayaran Rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300 mengikut kategori kelayakan masing-masing,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pembayaran itu adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dalam meringankan beban mereka yang masih terkesan akibat Covid-19.

“Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Dari aspek perlindungan sosial jangka panjang, pelan Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) juga sedang menerokai langkah-langkah untuk meningkatkan liputan dan kecukupan perlindungan sosial bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perlindungan serta kemampuan dalam memperbaiki taraf hidup mereka.

“Aspek jaringan keselamatan sosial terutamanya untuk golongan rentan juga akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2022,” katanya.

Penerima sedia ada bagi BPR adalah 3.4 juta penerima, manakala nilai bayaran Fasa 3 BPR adalah antara RM100 hingga RM1,400.

Penerima Rayuan BPR pula adalah seramai 0.2 juta penerima yang terdiri daripada isi rumah, warga emas dan bujang, dengan nilai bayaran Rayuan BPR adalah antara RM450 hingga RM2,300. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI