fbpx

Wanita tinggal bersama mayat suami, anak 48 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa yang ditemui mati di dalam rumah di Jalan Kaki Bukit, dibawa ke hospital petang tadi.

KANGAR – Seorang lelaki warga emas dan anak lelakinya ditemui mati dipercayai akibat jangkitan Covid-19 di Taman Datuk Setia, Jalan Kaki Bukit dekat sini petang tadi.

Mayat Bakar Yaacob, 79, dan Ahmad Rizal Bakar, 53, ditemui anggota polis yang tiba pada pukul 5.30 petang tadi selepas menerima laporan daripada jiran mangsa.

Seorang wanita yang juga isteri warga emas tersebut pula ditemui dalam keadaan murung.

Wanita terbabit dipercayai tinggal bersama mayat suami dan anak lelakinya itu yang disyaki meninggal dunia dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati pintu rumah dalam keadaan tertutup tetapi tidak berkunci.

Katanya, pihaknya menemui mayat anak pasangan itu yang sudah kembung dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lalu.

“Mayat bapanya pula didapati terbaring di ruang makan rumah dalam keadaan sempurna,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas badan mayat mangsa yang dibuat secara rambang mendapati tiada unsur perbuatan jenayah.

“Pemeriksaan tidak dapat dilakukan dengan terperinci kerana dikhuatiri dijangkiti virus Covid-19,” jelasnya.

Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibuat pemeriksaan Covid-19 dan tindakan seterusnya.

“Wanita itu juga dibawa ke HTF menggunakan ambulans kerana disyaki mengalami kemurungan,” katanya sambil memberitahu kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI