fbpx
Sektor pertanian moden boleh membantu dalam proses pemulihan ekonomi negara. – Gambar hiasan

Beri tumpuan pada sektor pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pembenta­ngan Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tidak lama lagi diharapkan dapat mengembalikan fokus kepada sektor pertanian yang dilihat se­olah-olah sedikit terabai di­sebabkan perubahan ekonomi yang berlaku dalam usaha membawa negara menuju status berpendapatan tinggi.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali berkata, dalam usaha memu­lihkan ekonomi, kerajaan perlu memberi penekanan kepada sektor yang melibatkan peratusan kelompok terbawah yang tinggi, seperti pertanian dan sektor ekonomi luar bandar.

“Sekiranya diimbas kembali pada RMK-2, terdapat dua matlamat utama iaitu membasmi kemiskinan dan mencorakkan ekonomi menuju ke arah penyertaan bumiputera yang lebih aktif dalam kegiatan ekonomi baharu.

“Disebabkan perubahan ekonomi yang berlaku, banyak perkara yang kita tertinggal dan dalam rancangan-rancangan seterusnya, matlamat utama ini seolah-oleh telah ‘dirampas’.

“Statistik graduan di Malaysia pada 2020 menunjukkan 75 peratus daripada mereka adalah dalam sektor perkhidmatan dan hanya 1.9 peratus dalam sektor pertanian.

“Adakah ini menunjukkan masalah perbezaan antara apa yang kita rancang dan apa yang sebenarnya berlaku?” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Persidangan Meja Bulat bertajuk Bajet 2022: Pe­mangkin Pemulihan & Pembaharuan Ekonomi Malaysia?.

Sesi tersebut diadakan selepas pelancaran Platform Forum Ekonomi Malaysia anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam.

Majlis yang diadakan secara maya itu dirasmikan oleh Ke­tua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali yang juga merupakan alumni UKM.

Pandangan Anuwar turut dipersetujui Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid yang menyatakan imbangan dagangan makanan negara semakin melebar kepada negatif RM21.8 bilion tahun lalu, berbanding defisit RM1.1 juta pada 1990.

“Kita mengimport lebih daripada RM50 bilion makanan setahun dan sekiranya kita dapat mengeluarkan sendiri hanya 10 peratus daripada nilai tersebut, ia memberikan impak besar kepada ekonomi.

“Mungkin ada banyak bantuan ditawarkan kerajaan dalam sektor pertanian, namun kita perlu lihat sejauh mana kadar pengambilan? Sekiranya terlalu rendah, mungkin kita perlukan satu pembaharuan,” katanya.

POPULAR