fbpx

2,000 pelancong mula bercuti ke Pulau Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian penumpang beratur bagi proses check-in untuk penerbangan ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Kira-kira 2,000 pelancong memulakan perjalanan bercuti ke Pulau Langkawi, Kedah menerusi 18 penerbangan yang dijadualkan selepas kerajaan mengumumkan pulau itu sebagai projek rintis bagi program gelembung pelancongan.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam kenyataan berkata, ia meliputi lapan penerbangan dari Kuala Lumpur (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) (KLIA), dua penerbangan dari Pulau Pinang, tujuh penerbangan dari Subang, Selangor dan satu penerbangan dari Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! Online di KLIA mendapati, suasana lapangan terbang utama negara itu kembali meriah dengan pelancong tempatan tiba seawal pagi untuk melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk ujian pengesanan Covid-19 yang diwajibkan kerajaan sebelum memasuki Langkawi.

Tinjauan mendapati, kaunter khas untuk penerbangan MH1432 yang dijadual berlepas pada pukul 9.30 pagi ke Pulau Langkawi dibuka seawal pukul 5 pagi bagi menerima kedatangan pelancong.

Rata-rata pelancong dikehendaki menjalani ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR atau RTK-Antigen) atau membeli kit ujian kendiri saliva terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan berlepas.

Seorang pelancong, Alif Aiman Ahmad Othman, 35, berkata dia dan keluarga tidak melepaskan peluang pergi bercuti selepas kerajaan mengumumkan kebenaran bagi melancong di pulau peranginan itu.

“Pada saat itulah saya terus membeli tiket, lagipun sekarang ini masih cuti sekolah, jadi ambil peluang ini.

“Anak-anak saya yang berusia sembilan dan lima tahun pun sangat teruja namun saya masih menekankan berkenaan dengan SOP yang perlu sentiasa dipatuhi apabila tiba di sana nanti,” katanya. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI