ALOR SETAR – Penduduk kampung yang ketagih judi online sanggup meminjam ah long dan menghabiskan wang i-Citra serta simpanan untuk menambah nilai bagi melakukan pertaruhan melalui ejen-ejen bergerak.
Penduduk Kuala Kedah yang mahu dikenali sebagai Azman, 48, menceritakan, adik iparnya berusia lingkungan 30-an terjebak selepas bercerai dengan isterinya sejak empat tahun lalu.
“Habis gaji dan upah yang diterima untuk mengusahakan sawah dan menjaga kambing digunakan untuk judi online.
“Dia sentiasa memegang telefon bimbit kerana mahu bermain judi. Sudah puas kami nasihatkan dia supaya berhenti, namun gagal,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, dia pernah terserempak dengan adik iparnya membeli tambah nilai wang pertaruhan daripada seorang ejen yang masuk ke kampung di Kuala Kedah.
Sementara itu, penduduk Kuala Nerang yang mahu dikenali sebagai Zulkifli mendakwa, kegiatan judi online di kampungnya menjadi biasa sehingga digelarkan sebagai ‘sukan rakyat’.
“Ramai terjebak kerana pengaruh kawan-kawan sehingga satu peringkat mereka menyokong antara satu sama lain dengan memberikan semangat untuk terus bertaruh.
“Ada yang bermain judi dengan berkumpul di belakang kedai makan dan kawasan tandop (tali air),” katanya yang memberitahu perniagaan kedai makan seorang rakannya lingkup akibat judi online.
Selain itu, tambahnya, baru-baru ini anak saudara lelakinya yang baru berusia belasan tahun dicekup bermain judi online di telefon bimbitnya.
“Anak saudara mengaku dia terpengaruh dengan kawan dan mahu gandakan wang untuk beli alat ganti motosikal,” katanya.
















