PETALING JAYA – Pihak berkuasa disaran supaya membuat pemantauan dan pemeriksaan di hotel-hotel di seluruh negara supaya pengusahanya dan juga pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, promosi istimewa yang ditawarkan kepada pelanggan ketika ini mendapat sambutan baik dan ia dijangka dapat menghidupkan kembali industri pelancongan negara.
“Bagaimanapun, saya bimbang wujud aktiviti tidak terkawal di premis masing-masing.
“Sebelum ini terdapat pengusaha terutamanya hotel bajet yang begitu ghairah menarik pelanggan menerusi pelbagai promosi dan diskaun.
“Ada antara mereka yang tidak kisah pelanggan berkumpul beramai-ramai dan mengadakan parti di dalam bilik,” katanya.
Lip Seng memberitahu, ketika ini, hanya individu yang lengkap vaksinasi yang dibenarkan menginap dan syarat utama itu wajib dipatuhi semua pengusaha hotel di seluruh negara.
“Saya berharap agar pihak hotel mengambil serius perkara ini kerana kita mahu putuskan rantaian Covid-19 buat selama-lamanya.
“Pematuhan SOP perlu dijadikan panduan utama industri ini demi memastikan hotel bukan sahaja selamat untuk penginapan, malah tempat makan dan penganjuran acara,” ujarnya.
















