fbpx

Syed Saddiq kekal pengakuan tidak bersalah ubah wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000, tiga tahun lalu.

Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan semula di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Sebelum ini Syed Saddiq telah membuat pengakuan tidak bersalah atas dua pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 5 Ogos lalu tetapi dibacakan semula hari ini.

Ia selepas Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Syed Saddiq didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Justeru hakim Suzana menetapkan 30 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes selepas peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq memaklumkan permohonan untuk memindahkan kedua-dua kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 25 November ini.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Azura Alwi turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula dua lagi kes yang dihadapi Syed Saddiq berhubung pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI