fbpx
ROTI dihasilkan sepenuhnya secara tradisional bagi mengekalkan rasanya.

Keenakan roti dimasak secara tradisional jadi bualan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALAU dah sedap, semua orang akan cari walau seberapa jauh sekalipun.

Itulah yang terjadi kepada seorang wanita, Maziah Abd. Rahman, 33, dari Kuala Berang, Terengganu selepas perniagaan roti sekaya yang dihasilkannya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan dicari para penggemarnya yang tinggal di sekitar Terengganu dan Kelantan.

Apa yang istimewanya, doh roti itu diuli sendiri dan dimasak secara tradisinal menggunakan dapur arang yang turut ditambah dengan sabut kelapa dan kayu getah bagi mengekalkan rasa yang sedap dan kelembutan teksturnya.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

SIAPA sangka dengan satu hantaran di laman sosial pada awal tahun 2019, wanita berusia 33 tahun itu berjaya menjadi seorang usahawan berjaya.

Segalanya bermula apabila Maziah Abd. Rahman membuat hantaran di dalam Facebook berupa gambar untuk minum petang iaitu roti sekaya yang dimasak sendiri secara tradisional.

Bermula detik itu, wanita berasal dari Kampung Bukit Gemuruh, Kuala Berang, Terengganu itu tidak menang tangan menerima permintaan terhadap roti sekaya dihasilkannya.

Kini, Maziah boleh berbangga apabila jenama Roti Sekaya Dapur Kayu (RSDK) semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan terutamanya di sekitar Terengganu dan Kelantan.

“Pada mulanya, saya buat roti ini secara suka-suka untuk minum petang bersama keluarga. Saya pun saja-saja hantar dalam Facebook, tidak sangka pula ramai berminat.

“Sejak itu, saya mula mengkomersialkan jenama RSDK. Alhamdulillah, roti ini mendapat permintaan menggalakkan daripada orang ramai,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Maziah memaklumkan, roti sekaya berkenaan dihasilkan menggunakan resipi diperturunkan oleh ibunya, Fatimah Salleh yang pernah mengkomersialkannya selama lebih dua dekad.

Jelasnya, ibunya berniaga di sekitar Kuala Berang sebelum berhenti membuat roti tersebut bagi memberi perhatian kepada perniagaan lain.

ROTI dibakar di dalam dapur tradisional menggunakan kombinasi arang, sabut kelapa dan kayu getah sebagai bahan
pemanas.

“Ibu dengan bapa saya sudah mengusaha perniagaan roti sekaya ini lebih dua dekad. Ketika itu, ibu saya menghantar roti ini ke kedai-kedai sekitar Kuala Berang hingga ke Tasik Kenyir.

“Saya tidak tahu sebab apa ibu berhenti membuat roti. Tetapi kami ada usaha perniagaan lain sebelum kembali memberi tumpuan kepada membuat roti selepas mendapat sambutan menggalakkan,” ujarnya lagi.

Tegas Maziah, RSDK berbeza dengan roti-roti yang terdapat dalam pasaran kerana ia dihasilkan 100 peratus secara tradisional tanpa menggunakan teknologi moden.

Menurutnya, adunan doh roti dihasilkan secara uli menggunakan tangan, manakala sekaya pula dimasak sendiri menerusi proses ‘kacau’ di dalam kawah selama lapan jam.

“Doh roti ini diuli sendiri oleh saya menggunakan tangan dengan 5 kilogram tepung memerlukan masa selama sejam. Saya pernah uli guna mesin, tetapi rasanya tidak sama dengan tangan.

“Inti sekaya juga saya buat sendiri dengan proses masakannya memerlukan tempoh lama. Ia perlu dikacau selama tempoh masakan bagi mengelak sekaya hangit.

“Hasil gabungan antara doh dan sekaya ini, maka terhasillah roti yang sedap. Tekstur roti ini juga lebih lembut dan tahan lama,” ujar wanita itu.

Tambah menarik, RSDK dibakar di dalam dapur tradisional yang menggunakan kombinasi antara arang, sabut kelapa dan kayu getah sebagai bahan pemanas.

Jelas Maziah, roti yang dibakar menggunakan dapur tradisional berkenaan dipercayai lebih enak berbanding ketuhar moden kerana mempunyai bau-bau asap pada rasanya.

“Proses membakar roti ini adalah sekitar lima minit sahaja. Kebanyakan pelanggan memaklumkan, roti ini sedap sebab ia ada bau-bau asap yang terhasil daripada sabut dan kayu,” katanya.

Menariknya, proses menghasilkan roti berkenaan dilakukan sepenuhnya oleh ahli keluarga Maziah bermula daripada uli adunan sehinggalah kepada pembungkusan.

HASIL gabungan antara doh dan sekaya, terhasil roti yang sedap dengan teksturnya yang lebih lembut dan tahan lama.

Setiap hari, Maziah menghasilkan antara 150 hingga 200 biji roti sehari bergantung kepada permintaan pelanggan. Harga sebiji roti adalah RM0.60 dengan pilihan tiga inti iaitu sekaya, kacang dan kelapa.

Dalam pada itu, dia mengesyorkan kepada para pelanggan supaya membuat tempahan atau menghubunginya terlebih dahulu bagi memastikan stok roti masih ada.

“Kadang-kadang ada orang tempah 100 biji, apabila sampai di sini mereka tambah lagi 20 biji. Jadi, stok roti untuk pelanggan yang datang tanpa janji temu terhad.

“Sebaiknya, hubungi saya terlebih dahulu sebelum datang ke kedai. Saya tidak mahu terjadi apabila pelanggan datang jauh-jauh, tetapi stok roti tidak ada,” tegasnya.

Pada masa sama, Maziah turut menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada mereka tinggal berdekatan Kuala Berang dengan caj dikenakan mengikut jarak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN