fbpx

Enam penerbangan sehari ke Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembukaan semula gelembung perjalanan ke Langkawi akan merancakkan kembali industri penerbangan.

PETALING JAYA – Malindo Air bakal menawarkan enam penerbangan ke Langkawi setiap hari bagi menyokong langkah kerajaan memulakan gelembung pe­nerbangan di pulau peranginan tersebut bermula 16 September.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Mushafiz Mustafa Bakri berkata, lima penerbangan sehari akan ditawarkan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dan satu penerbangan sehari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Buat masa ini, syarikat penerbangan itu menyediakan dua penerbangan sehari antara Langkawi dan LTSAAS, yang kekal menjadi pilihan popular untuk penerbangan domestik, terutamanya di Semenanjung.

“Sempena pembukaan Langkawi untuk penumpang yang telah menerima vaksinasi penuh dan untuk sambutan Hari Malaysia, syarikat akan memberi kebenaran bagasi 15 kilogram percuma bermula 16 September bagi pemegang tiket Super Saver,” katanya dalam kenyataan.

Mushafiz menjelaskan, 2021 adalah tahun mencabar bagi industri penerbangan, namun keadaan kini semakin baik.

“Melihat ke hadapan, kami percaya pembukaan semula Langkawi sebagai gelembung perjalanan akan memberikan nilai yang sangat besar kepada kebangkitan semula industri penerbangan dan pelancongan yang paling teruk terjejas,

“Kami berharap pembukaan sektor pelancongan di ­Langkawi secara perlahan-lahan akan membantu semua pihak kembali berdiri.

“Malindo Air akan bekerjasama dengan kerajaan, Lembaga Pembangunan Langkawi serta Tourism Malaysia bagi memastikan inisiatif pelancongan ini dapat dilanjutkan dalam keadaan selamat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI