fbpx
MENURUT RODZI, PKP tidak akan dilaksanakan lagi kerana PPN satu strategi untuk keluar daripada pandemik. – FAUZI BAHARUDIN

PKP dah tiada, hanya PKPD di lokaliti bersasar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU ini ruangan Wawancara membawakan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad yang mengupas peranan yang dimainkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menangani isu membendung penularan pandemik Covid-19.

Antara lain beliau memberikan berita yang amat dinantikan oleh orang ramai termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah ditiadakan disebabkan ia diganti dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan salah satu strategi keluar daripada pandemik.

Selain itu, beliau turut  membicarakan tentang kebimbangan ibu bapa terhadap pembukaan sekolah awal Oktober depan disebabkan anak-anak mereka yang tidak menerima vaksinasi.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara ini sejak dua tahun lalu menyaksikan sehingga 2 September lalu, jumlah keseluruhan kes jangkitan melebih 1.7 juta, manakala kes sembuh pula lebih 1.5 juta.

Bagi mengawal dan membendung penularan pandemik, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan terlibat secara langsung dalam hal ini termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Agensi terbabit bertanggungjawab menyelaraskan dasar berkaitan keselamatan negara dan arah tuju hal-hal keselamatan pada masa pandemik dengan kerjasama agensi kerajaan lain.

Sungguhpun begitu, di kala sibuk dengan pandemik, MKN tidak pernah melupakan tugas-tugas hakiki iaitu menjaga keselamatan negara daripada diceroboh oleh anasir luar.

Bagi membincangkan perkara-perkara berbangkit berkaitan pandemik Covid-19 dan keselamatan negara, wartawan Kosmo! Ahad, AZIMI MUSTAPHA dan FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan, kerajaan akan melihat secara terperinci peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Lembah Klang memandangkan kadar vaksinasinya melebihi keperluan imuniti kelompok. Biarpun ramai bosan duduk di rumah, namun bimbang untuk keluar memandangkan kes positif Covid-19 masih tinggi. Bagaimana Datuk melihat perkembangan ini?
DATUK RODZI: Pada masa ini, kita dapati kemajuan positif dicapai dalam proses vaksinasi di Lembah Klang.

Kalau kita lihat trend ini serta pengalaman di Labuan dan Sarawak menunjukkan, vaksinasi adalah satu prasyarat penting untuk kita turunkan penularan Covid-19.

Namun begitu, di Lembah Klang di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) kita ada tiga nilai ambang yang kita perlu patuhi untuk membolehkan kita bergerak dari fasa satu yang sedang kita laksanakan ke fasa dua.

Syarat nilai ambang untuk kadar vaksinasi telah dicapai, begitu juga kadar kes positif semakin menurun.

Bagaimanapun, jumlah katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital masih dilihat sebagai perkara yang tidak melepasi nilai ambang dan sebab itu Lembah Klang buat masa ini masih kekal di fasa satu.

Namun begitu, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik telah meneliti dan kita akan buat keputusan dalam masa terdekat tentang kedudukan Lembah Klang sama ada untuk bergerak ke fasa dua atau sebaliknya.

Keputusan akan dibuat dalam tempoh dua minggu ataupun lebih cepat daripada itu.

Sesi persekolahan khususnya untuk kelas peperiksaan akan dibuka pada 3 Oktober depan. Masih ramai ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka memandangkan kes harian masih tinggi, selain murid-murid masih belum divaksin. Bagaimana Datuk melihat situasi ini?
Mengikut perancangan, Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah akan dibuka pada 3 Oktober depan termasuk bagi pelajar yang menduduki peperiksaan.

Namun begitu seperti yang pihak kerajaan nyatakan, penilaian risiko sentiasa dijalankan oleh KKM.

Kerajaan tentu akan melaksanakan ketetapan yang telah dinyatakan oleh KPM, tetapi ini bukan satu yang mengikat secara tetap,

Dalam hal ini, kepentingan nyawa jauh lebih penting dan keputusan akhir pembukaan sekolah akan diputuskan oleh KPM setelah dirujuk ke Jawatankuasa Khas Teknikal.

Itu sedang kita usahakan kerana masih ada tempoh sebulan untuk keputusan akhir dibuat.

Kerajaan turut meneliti pandangan daripada semua pihak berhubung hal ini dan mempertimbangkannya daripada segenap aspek dan mencari solusi terbaik.

Dalam pada itu, guru-guru juga dinasihatkan untuk tidak menolak vaksin kerana mereka bertanggungjawab untuk melaksanakan ketetapan dasar kerajaan yang terkandung dalam Aku Janji sebagai penjawat awam.

Sepatutnya sebagai golongan terpelajar, mereka sama-sama membantu kerajaan dalam mencapai imuniti berkelompok.

Ramai kini menunggu berita baik untuk merentas negeri terutamanya bagi bertemu keluarga di kampung. Adakah kebenaran untuk berbuat demikian bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19 atau hanya fasa tertentu sahaja yang boleh berbuat demikian?
Kerajaan sebenarnya melalui Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik telah menetapkan parameter prosedur operasi standard (SOP) iaitu mengikut fasa satu sehingga fasa empat.

Jadi, kalau kita lihat di fasa dua rentas daerah telah dibenarkan bagi mereka yang telah lengkap dua dos vaksin.

Kerajaan juga sedang meneliti supaya rentas negeri dibenar setelah kemajuan vaksinasi tercapai dengan baik iaitu pada fasa tiga.

Bagaimanapun, kita perlu tunggu pengumuman lanjut tentang perkara ini kerana penelitian penilaian risiko harus dilakukan.

Jika semua berjalan dengan baik dan masyarakat berdisiplin dan patuh SOP bagi menurunkan kes positif secara signifikan dan kadar kebolehjangkitan menurun, kita boleh melaksanakan kebenaran merentas negeri pada fasa tiga.

SUASANA lengang Pantai Chenang, Langkawi bakal berubah selepas pulau itu dibuka kepada pelancong bermula 16 September ini . – GAMBAR HIASAN

Pulau Langkawi bakal dibuka kepada pengunjung terutama pelancong antarabangsa pada 16 September ini. Dalam hal ini, apa jaminan MKN bahawa tidak akan berlaku penularan varian terbaharu masuk ke dalam negara?
Kita tegasnya, syarat untuk pembukaan semula Pulau Langkawi untuk tujuan pelancongan adalah para pelancong terutama dari luar negara harus lengkap dua dos vaksin.

Selain itu, kerajaan juga boleh mengenakan syarat lain seperti ujian saringan misalnya.

Pelancong luar yang hendak masuk ke Langkawi perlu melakukan ujian saringan sekurang-kurangnya 72 jam atau tiga hari sebelum mereka tiba.

Apabila mereka tiba, perlu juga melakukan ujian saringan sekali lagi bagi memastikan tiada penularan berlaku ketika dalam penerbangan.

Kita yakin, jika semuanya berjalan dengan baik dan kita boleh jadikan Pulau Langkawi sebagai perintis gelembung perjalanan sebelum dilaksanakan di lain-lain lokasi.

Ini sekali gus dapat merangsang semula ekonomi negara.

Selain isu pandemik Covid-19, apakah isu-isu keselamatan negara yang lain diberikan tumpuan oleh MKN pada masa ini?
Biarpun negara kini sibuk dengan memerangi pandemik Covid-19, tetapi kita tidak melupakan isu lain yang menggugat keselamatan negara.
Selain pandemik, kita masih memberi tumpuan utama berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kita dapati, masih banyak cubaan secara berterusan yang dilakukan warga asing negara jiran untuk masuk ke negara kita secara tidak sah.

Untuk itu, kerajaan melaksanakan Op Benteng yang berperanan mencegah kemasukan warga asing secara haram.

Ia sangat berkesan kerana kita boleh mengesan rantaian sindiket atau dalang yang membantu warga asing ini dan mengambil tindakan kepada mereka.

Selain itu, isu lain yang kita ambil peduli adalah berkaitan keselamatan siber, penyeludupan barang terlarang di sempadan, pencerobohan bot-bot asing di perairan negara dan menjaga kedaulatan negara daripada diceroboh dengan mudah oleh negara kuasa besar lain.

JELAS Rodzi, pelancong luar yang hendak masuk ke Langkawi perlu melakukan saringan sekurang-kurangnya 72 jam atau tiga hari sebelum mereka tiba.

Sejauh mana ketidakstabilan politik negara boleh mengganggu tugas-tugas MKN untuk memerangi pandemik Covid-19. Adakah pertukaran pucuk pimpinan negara memberi kesan kepada MKN dalam membuat keputusan?
Kita beruntung kerana memiliki perkhidmatan awam yang mantap diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Itu yang istimewanya di negara ini kerana penjawat awam menjalankan tugas demi negara walaupun apa pun keadaan yang berlaku bagi memastikan fungsi pentadbiran negara terus berjalan dengan baik.

Jadi, ketidakstabilan politik tidak menjejaskan fungsi kerajaan kerana penjawat awam akan terus menjalankan tugas dengan penuh amanah dan beretika di bawah pimpinan KSN.

Walaupun baru-baru ini fungsi kerajaan sedikit terganggu, namun kita dapat teruskan dengan jayanya usaha untuk membendung penularan pandemik Covid-19.

Banyak orang di luar sana ingin mengetahui adakah kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diperkenalkan semula memandangkan kes positif Covid-19 masih tinggi?
Kita sekarang melaksanakan PPN sebagai salah satu strategi untuk keluar daripada pandemik. Oleh itu, tidak akan ada lagi pelaksanaan PKP.

Namun begitu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih ada dan kita mahu urus pandemik Covid-19 mengikut lokaliti.

Dalam hal ini, jika ada satu tempat yang ada kluster baharu, kita hanya menutup kawasan itun sahaja menerusi PKPD.

Kita tidak mahu menutup semua kawasan dan PKPD akan dilaksanakan di kawasan yang dirasakan bersasar dan perlu sahaja.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN