fbpx

Pandemik tak berbaloi simpan panjang – Awie korbankan rambut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AWIE kini muncul dengan gaya rambut pendek. lebih segar dan bersemangat.

PETALING JAYA – “Rasa macam tak berbaloi bela rambut panjang waktu pandemik, itu yang saya potong (rambut) tapi jiwa tetap rock.”

Demikian luah penyanyi rock Datuk Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman mengenai penampilan terbaharunya berambut pendek yang dikongsi dalam Instagram miliknya, semalam.

Awie, 53, berkata, dia berasa tidak seronok menyimpan rambut panjang sedangkan terpaksa terperuk di rumah disebabkan wabak Covid-19 yang masih menjadi permasalahan nombor satu negara sekarang.

“Saya tak tahu nak buat apa. Dahulu agungkan imej berambut panjang dan jiwa rock sebab kerja. Musim pandemik ini, persembahan pentas tiada dan terbaring sahaja di rumah. Apa boleh buat.

“Tambahan pula, saya baru selesai menjalani satu pembedahan pada 29 Julai tempoh hari. Tiga hari saya terlantar di hospital dan kemudian terpaksa pulang dan menjalani proses sembuh selama tiga minggu di rumah sebab Covid-19, lebih baik duduk rumah. Saya pun tak mahu risikokan diri tinggal di wad lama-lama.

“Lepas pembedahan itu dan sembuh, saya dapati rambut saya mula mudah gugur. Gugur banyak daripada kebiasaan. Itu yang membulatkan hasrat saya nak potong rambut pendek dan saya fikir, tidak mengapa saya potong pendek sementara tiada ‘show’ sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! online sebentar tadi.

Pelantun lagu Di Penjara Janji itu berharap, imej berambut pendek dapat meleraikan segala kekusutan yang membukit di minda disebabkan pandemik Covid-19. Gaya baharu tersebut juga diharapkan menumbuhkan perkara-perkara lebih baik selepas ini.

“Tiga minggu saya tak boleh buat apa-apa, cuma terbaring dan jalan dalam rumah saja. Itu semua membuatkan saya jadi kusut dan marah.

“Saya harap potong rambut pendek dapat membuang sakit-sakit yang ada dalam diri saya pergi bersama rambut-rambut yang telah dipotong. Saya berdoa serta berharap tumbuhlah rambut yang sihat dan baik-baik bersama rezeki dan kesihatan lebih bagus,” katanya.

Ditebak pertanyaan sama ada penampilan baharu ini bermakna dia akan perlahan-lahan meninggalkan muzik rock, Awie menafikan perkara itu.

“Tiadalah sampai begitu. Saya tahu ramai artis-artis kita sekarang yang mula berhijrah ke arah yang lebih baik. Saya juga mendoakan yang baik-baik buat mereka. Tapi kalau boleh, janganlah berubah hanya sebab publisiti atau hal berkaitan itu.

“Untuk saya, jiwa saya tetap rock. Rock tetap rock. Tapi saya percaya, hari demi hari, kita akan berubah menjadi manusia yang lebih baik. Kalau tentang rock, itu memang sesuatu yang akan tetap mekar dalam jiwa saya,” ujarnya.

Terdahulu, Awie pernah beberapa kali terkena sakit misteri dan berubat dengan beberapa pengamal perubatan Islam. – K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI