fbpx

Tidak terima vaksin, tidak boleh mengajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KANGAR – Semua guru yang enggan menerima suntikan vaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam kelas dan berinteraksi dengan pelajar apabila sekolah dibuka pada 3 Oktober depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tindakan tersebut diambil bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin selain memberikan keyakinan bahawa anak-anak mereka berada dalam persekitaran selamat.

Beliau berkata, satu garis panduan akan dikeluarkan pihak kementerian dalam masa terdekat untuk menentukan tugas-tugas guru yang enggan divaksin.

“Tidak ramai pun jumlah guru-guru yang enggan divaksin iaitu sehingga kini kira-kira 2,500 orang berbanding jumlah keseluruhan kira-kira 400,000 orang.

“Kita akan terus menasihatkan mereka supaya mendapatkan vaksin bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru-guru lain yang berada di sekolah terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Menteri Kanan Pendidikan bersama Guru-guru Sekolah Rendah Negeri Perlis di Hotel Putra Regency di sini semalam.

Sebelum ini, timbul kontroversi apabila terdapat sebahagian guru enggan mengambil suntikan vaksin seperti di Johor, Selangor, Melaka dan Perlis.

Menurut Radzi, kementerian pada masa sama sedang berbincang dgn pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai jenis tindakan yang boleh diambil terhadap guru-guru yang enggan divaksin itu.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 96.7 peratus guru sudah menerima dos pertama vaksin manakala 85.26 peratus lengkap dos kedua.

Menurutnya, selain kalangan guru, pihaknya juga akan memastikan pekerja sektor sokongan di sekolah seperti pengusaha dan pekerja kantin, pekerja pembersihan serta keselamatan juga terdiri daripada mereka yang sudah menerima vaksin.

“Sehingga kini, 73.71 peratus pekerja sokongan sudah lengkap dua dos vaksin manakala 89.35 peratus telah menerima dos pertama.

“Kita akan keluarkan maklumat kepada mereka terlibat supaya semua yang berada di persekitaran sekolah adalah mereka yang sudah divaksin. Jika tidak, maka mereka perlu cari individu yang sudah divaksin untuk berkhidmat,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan membuat pengumuman dalam masa terdekat setelah sesi libat urus tersebut selesai bagi membentangkan mengenai kaedah pembukaan sekolah secara bersemuka.

“Perbincangan akan dibuat bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Mengambil kira input yang diterima kita akan bentang kaedah bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Memang jelas 3 Oktober sekolah dibuka, cuma kita perlu perhalusi negeri mana yang buka dahulu, melibatkan kelas mana dan bergantung kepada fasa setiap negeri,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI