JIKA anda ingin bercuti, hendaklah merancangnya dengan teliti agar dapat menjimatkan kos terutamanya bagi mereka yang mempunyai keluarga yang besar.
Ruangan Tip pada minggu ini memberikan beberapa panduan berguna untuk anda yang berhasrat untuk percuti selepas tamatnya sekatan merentas negeri kelak.
Antara yang boleh dipraktikkan adalah membeli sendiri tiket penerbangan melalui online tanpa bergantung kepada syarikat atau agensi pelancongan bagi menjimatkan kos percutian.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————-
SEPANJANG pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, industri pelancongan sangat terjejas ekoran sekatan perjalanan rentas daerah, negeri dan negara oleh kerajaan.
Sekatan tersebut terpaksa dilakukan bagi memutuskan rantaian Covid-19 dalam kalangan masyarakat, sekali gus menyebabkan orang ramai lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
Memandangkan terdapat ura-ura bahawa sektor pelancongan akan dibuka sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, orang ramai dilihat mula mencari pakej-pakej percutian terbaik.
Rata-rata mereka mencari pakej percutian yang ditawarkan di dalam negara pada harga berpatutan menerusi carian di internet atau berhubung terus dengan syarikat penyedia perkhidmatan itu.
Pakej percutian semakin mendapat perhatian masyarakat memandangkan ia dilengkapi semua keperluan seperti pengangkutan, tempahan hotel, jadual lawatan serta selamat.
Justeru, para pelanggan tidak perlu lagi menghabiskan masa atau pening kepala untuk menguruskan segala jenis tempahan diperlukan sewaktu percutian ke sesuatu lokasi peranginan.
Minggu ini, Horizon ingin berkongsi beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sewaktu pemilihan pakej percutian bagi memastikan ia berjalan lancar.

1. Perjalanan sendiri
Sekiranya anda membeli tiket penerbangan menerusi agensi pelancongan, harga yang ditawarkan pasti lebih mahal.
Bagi menjimatkan kos, anda digalakkan membuat tempahan sendiri perjalanan pergi dan balik ke lokasi percutian.
Anda boleh menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah yang menawarkan harga yang berpatutan.
Apapun hendaklah memastikan jadual penerbangan sama dengan tarikh pakej lawatan anda.
2. Semak kemudahan
Sebelum membuat perjanjian atau pembayaran deposit, pastikan anda membuat semakan terhadap kemudahan-kemudahan yang ditawarkan di sesuatu tempat.
Pastikan, hotel anda menawarkan kemudahan WiFi dan pengangkutan terbaik.
Ini penting bagi mengelakkan berlaku masalah sehingga mood percutian anda terganggu.
3.Elak servis tambahan
Kebanyakan agensi pelancongan cenderung menawarkan perkhidmatan tambahan bagi menarik perhatian pelanggan.
Ini termasuk pengangkutan di lapangan terbang dan lokasi beli-belah.
Biasanya, perkhidmatan ini hadir dengan kos tertentu.
Jadi, elakkan daripada menerima perkhidmatan tambahan tersebut bagi menjimatkan kos.

4. Popular bukan terbaik
Ramai percaya, pakej percutian ditawarkan agensi pelancongan atau laman web popular secara relatifnya menawarkan perkhidmatan terbaik.
Bagaimanapun, sangkaan tersebut tidak selalunya benar.
Sebaiknya, pilih agensi dan laman web kurang dikenali yang memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
5. Senaraikan keutamaan
Agensi pelancong yang menawarkan pakej percutian bertanggungjawab merancang perjalanan termasuk jadual lawatan ke tempat-tempat menarik.
Meskipun begitu, anda boleh menyatakan pilihan tempat-tempat tarikan yang ingin dilawati di lokasi percutian.
Jadi, tempat-tempat yang tidak diberi keutamaan boleh diabaikan oleh pihak agensi, sekali gus dapat mengurangkan kepadatan jadual lawatan.
Sebaiknya, lakukan lawatan di dua atau tiga tempat setiap hari bagi membolehkan anda terus fokus.
















