fbpx

Pupuk semangat juang anak muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SYED MOHD. HAZIQUE SYED NOR
WARTAWAN EKSEKUTIF

TANGGAL 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat Malaysia mencapai kemerdekaan serta bebas daripada penjajah.

Kemerdekaan sebuah negara adalah antara nikmat serta kejayaan terbesar yang perlu dipertahankan setiap individu.

Sudah dua kali sambutan hari bersejarah negara berbeza disebabkan pandemik Covid-19, tiada lagi acara bunga api dan perarakan ekoran rakyat perlu hidup dengan norma baharu.

Namun, masih ramai rakyat yang belum faham akan makna kemerdekaan. Makna pada diri, masyarakat dan negara.

Generasi baru mahupun remaja masa kini perlu disematkan erti kemerdekaan dan cintakan negara dan 31 Ogos bukan sekadar hari cuti buat mereka.

Pakar Sosiologi Universiti Selangor, Dr. Mohd. Zaidi Mohd. Hajazi berkata, golongan muda kurang diberi ilmu pengetahuan serta makna erti kemerdekaan kepada sesebuah negara itu.

“Golongan ini mungkin kurang fahaman tentang makna serta sejarah-sejarah bagaimana negara kita hendak mencapai status merdeka.

“Generasi muda masa kini merupakan masa hadapan negara dan mereka perlu diberi ilmu kemerdekaan dari kecil lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Tambah Zaidi, lebih memerit­kan apabila kebanyakan anak muda masa kini tidak mengambil peduli tentang sejarah pembentukan negara serta pengorbanan yang dilakukan masyarakat dahulu sebelum mencapai status negara yang merdeka.

“Jelas terpampang, di manakah semangat cinta terhadap negara buat mereka.

“Orang muda adalah pe­mimpin di masa hadapan, jika mereka tidak ambil peduli tentang perihal negara, maka sejarah kemerdekaan negara ha­nyalah sia-sia serta akan terkubur di te­lan zaman,” ujarnya.

Justeru itu, jelasnya, semua pihak perlu memainkan pe­ranan mereka dalam usaha memastikan anak-anak muda dapat menghayati makna kemerdekaan serta pengorbanan yang dilakukan oleh orang-orang dahulu.

Dalam pada itu, Pakar Sosio­logi Universiti Malaya, Dr. Rosila Bee Mohd. Hussain menegaskan, kerajaan sudah melakukan pelbagai cara dalam usaha memupuk semangat kemerdekaan.

Katanya, pelbagai pertandi­ngan serta usaha telah direncanakan terutamanya kepada belia negara.

“Kita boleh lihat sendiri, kerajaan membuat pertandingan, sajak, syair, kibar Jalur Gemilang dan pelbagai lagi.

“Pertandingan seperti ini memberi peluang kepada anak muda menghayati serta memahami erti kemerdekaan itu ­sendiri,” jelasnya.

Tambahnya, ibu bapa serta guru-guru di sekolah juga berpe­ranan penting dalam memastikan mereka berjiwa patriotik.

“Jika di rumah, ibu bapa boleh membuat aktiviti-aktiviti yang boleh menambah ilmu penge­tahuan tentang kemerdekaan seperti membaca novel, lagu, serta filem-filem berkait tentang perkara tersebut.

“Guru-guru pula memainkan peranan seperti mengadakan bulan kemerdekaan di sekolah, memberi penekanan terhadap pentingnya mata pelajaran sejarah dan menegaskan kepada pelajar bahawa mereka perlu mengetahui sejarah negara.

“Selain itu, aktiviti-aktiviti ­virtual yang membuatkan pelajar-pelajar ini berminat untuk mempelajari tentang negara sekali gus menanam jiwa patriotik dalam diri mereka,” ujarnya.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 semua. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI