fbpx

29 hari lawan Covid-19, Fazli Zainal bagai dapat nyawa kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN Fazli (kiri) yang sebelum ini dirawat di Hospital Ampang selama 29 hari akibat dijangkiti Covid-19.

PETALING JAYA – Selepas 29 hari dirawat di Hospital Ampang akibat jangkitan Covid-19, penyanyi Fazli Zainal meluahkan rasa syukur apabila dibenarkan pulang ke rumah, semalam.

Katanya, pengalaman berdepan virus menakutkan sepanjang tempoh itu dengan akhirnya sembuh semula umpama diberikan peluang kedua untuk berbakti.

“Alhamdulillah, saya sudah dibenarkan keluar dari wad hari ini (semalam) selepas 29 hari berada di hospital.

“Allah bagi saya peluang dan nyawa kedua untuk teruskan hidup, berbakti dan sebarkan kebaikan,” katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Harapan itu dimasukkan ke hospital pada 31 Julai selepas tahap oksigen dalam badannya menurun setelah seminggu dijangkiti Covid-19.

Ketika itu ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) mendapati kira-kira 75 peratus paru-parunya dalam keadaan kurang memuaskan.

Fazli, 44, kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) bagi meningkatkan kembali tahap oksigen dalam tubuh badannya.

Dia sebelum ini mengatakan belum berkesempatan mengambil suntikan dos pertama vaksin yang sepatutnya pada 23 Julai apabila dijangkiti Covid-19 sebelum tarikh itu.

Pada masa sama, Fazli turut menzahirkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyuntik semangat buatnya mengharungi keadaan sukar tersebut.

“Terima kasih banyak semua yang membantu dari segi mental dan fizikal sama ada secara terus atau tidak. Hanya Allah yang boleh membalas budi baik anda.

“Selesai fasa kritikal, sekarang saya perlu lalui fasa penyembuhan yang lebih kurang mencabar. Saya perlukan semangat daripada kalian, terus doakan saya,” kongsinya lagi.

Terdahulu, Fazli pernah muncul dengan single berjudul Mantan Yang Terluka ciptaan Ajai dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya, selain berduet dengan Bob Yusof menerusi lagu Kurnia pada 2017. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI