fbpx

Pulihkan masalah kemurungan dengan memasak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN kadangkala memasak memakan masa yang panjang tetapi ia menjadi terapi terbaik untuk kesihatan mental seseorang. – GAMBAR HIASAN

PELBAGAI pendekatan dilakukan segelintir individu bagi mengatasi masalah psikologi dan mental seperti kegelisahan serta panik yang dialami mereka.

Ada yang lebih senang meluahkan perasaan tersebut dengan cara menulis, berbasikal, membeli-belah mahu pun menonton wayang.

Bagaimanapun, satu artikel berkaitan psikologi hari ini mendedahkan, memasak adalah kaedah paling berkesan bagi menghilangkan perasaan tersebut dalam diri individu.

Dikenali sebagai terapi kulinari, kaedah ini merupakan teknik yang terbukti berkesan dalam merawat masalah berkenaan.

Pendekatan itu juga turut digunakan oleh beberapa pakar kesihatan mental di seluruh dunia bagi membantu mereka yang berdepan masalah psikologi.

Dianggarkan kira-kira 56 peratus daripada masyarakat di Amerika Syarikat memilih untuk memasak setiap kali berhadapan dengan hari yang sukar.

Menerusi memasak dapat membantu mereka meningkatkan semula semangat yang telah hilang.

Seorang pakar terapi kulinari, Julian Ohana berkata, dia percaya kemahiran yang diperlukan ketika memasak membuatkan individu fokus dan seterusnya keluar daripada masalah dialami.

Ujarnya, pakar-pakar psikologi telah lama membincangkan tentang manfaat memasak bagi individu yang mengalami masalah kesihatan mental dan ia sama seperti meluangkan masa untuk diri sendiri.

“Melalui memasak, individu dapat mengawal kehidupan mereka dan seterusnya mengembalikan kegembiraan dan keyakinan diri yang mungkin telah lama hilang akibat kegelisahan serta kemurungan.

“Lebih menarik, pengurusan masa yang diperlukan ketika memasak mengalihkan perhatian mereka terhadap realiti kehidupan sebenar.

“Walaupun kadangkala, proses memasak mengambil masa agak panjang, namun ia memberi kesan positif terhadap kesihatan mental individu secara keseluruhan,” katanya.

Jelasnya, memasak berfungsi sebagai mekanisme pencegahan hebat yang membantu mengatasi ketakutan, kegelisahan, panik dan kemurungan dengan mengalihkan tumpuan kepada sesuatu lebih positif.

Bagi yang kurang mahir memasak dan bergantung kepada resipi tidak perlu tertekan jika makanan yang dimasak tidak sama seperti resipi asal yang dirujuk.

Ini kerana, idea terapi kulinari adalah untuk menjauhkan diri individu daripada tekanan hidup.

“Memasak merupakan satu seni yang memerlukan kreativiti dan kepelbagaian.

“Tidak menjadi satu kesalahan jika hasilnya tidak sama seperti yang dilihat. Individu boleh menjadi kreatif dengan membuat sebarang perubahan dan tidak terikat dengan satu-satu resipi,” ujar Ohana lagi.

Dalam pada itu, Ohana menambah, kajian yang dilakukan di Perancis menunjukkan, 79 peratus daripada masyarakat di sana memasak bersama ahli keluarga.

Jelasnya, menerusi kaedah itu, manusia akan saling berhubungan dan ini dapat mengatasi kegelisahan diri.

“Jadilah penyelamat untuk diri sendiri. Jangan bergantung kepada individu lain untuk membawa anda keluar daripada masalah.

“Masaklah apa sahaja yang dapat memulihkan semula mental dan emosi diri yang terganggu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI