fbpx

Warisan seni makin pupus, MOTAC anjur pertandingan nyanyi lagu P. Ramlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tan Sri P. Ramlee

PETALING JAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan menganjurkan Festival Seni Hidup@Living Arts Cultural Festival (LACF) yang diadakan pada 29 hingga 31 Oktober ini.

LACF menghimpunkan kesenian yang antaranya telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), Warisan Kebangsaan serta sebagai platform yang mengetengahkan warisan negara yang hampir pupus dan seterusnya menjadi pencetus kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd. Yusop berkata, sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab dalam memantapkan usaha memelihara, mengekal, mengembang dan menyemarakkan seni budaya dan warisan negara, pihaknya turut melaksanakan pencungkilan bakat sempena LACF 2021.

Menurutnya, sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Pertandingan Nyanyian Lagu-lagu P. Ramlee, Cabaran Joget dan Pertandingan Busana Tradisional Malaysia.

Warisan seni negara semakin dilupakan, MOTAC mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan nyanyian lagu-lagu seniman agung, Allahyarham P. Ramlee.

Penyertaan dibuka mulai 20 Ogos hingga 20 September ini manakala pertandingan akhir akan diadakan pada 29 hingga 31 Oktober depan.

“Untuk rekod, sebanyak 149 lagu-lagu nyanyian dan gubahan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee telah diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2018 manakala Joget Melayu diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2007 yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM23,000 kepada pemenang.

“Berbeza dengan penganjuran LACF pada tahun 2018 dan 2019, program pencungkilan bakat merupakan julung kali diadakan bagi sesi 2021.

“Orang ramai juga berpeluang mengundi peserta kegemaran mereka bagi memenangi kategori peserta paling popular menerusi Halaman Peminat Facebook Rasmi LACF secara undian likes (tanda suka) dan shares (perkongsian) terbanyak bermula 25 September hingga 20 Oktober ini,” katanya lagi.

Mesran berkata, selain pencungkilan bakat, orang ramai juga berpeluang menyaksikan persembahan dan dokumentari Warisan Tidak Ketara daripada Malaysia, Laos, Turki, Indonesia, Kemboja, Korea Selatan, China, Sri Lanka, Filipina, Kanada, Australia, Vietnam dan Thailand menerusi www.cloudtheatre.com dan Halaman Peminat Facebook JKKN TV serta berpeluang mengikuti bengkel seni lipatan kertas, galeri maya, webinar dan sebagainya lagi.

“Diharap dengan beberapa program pencungkilan bakat ini dapat menyemarakkan lagi seni budaya di Malaysia di samping menjadi pencetus kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan seni budaya dan warisan negara,” katanya.

Untuk pencungkilan bakat, orang ramai boleh muat naik video ke Google Drive atau wetransfer dan menyertakan pautan di butang Borang Penyertaan.

Mereka perlu mengmbas Kod QR dalam poster atau layari laman sesawang JKKN di http://www.jkkn.gov.my/ms untuk muat turun borang dan syarat penyertaan. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI