fbpx

MBSB rekod prestasi lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia Building Society Berhad (MBSB) merekodkan keuntungan selepas cukai RM403.41 juta bagi tempoh suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2021, berbanding RM63.41 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Hasil lebih baik itu disumbangkan terutamanya daripada pengurangan pada susut nilai.

Perolehan merosot 2.35 peratus berbanding suku pertama kepada RM664.94 juta disebabkan pulangan lebih rendah daripada pelaburan kewangan.

Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, keputusan berkenaan terutamanya disebabkan kehilangan kredit lebih rendah berbanding jangkaan, yang menyumbang kepada pengurangan susut nilai sehubungan penambahbaikan pada pemberian pinjaman, pembiayaan dan pendahuluan.

“Ini mencerminkan kecekapan pada penambahbaikan pelan perniagaan yang kami laksanakan secara serius  sejak permulaan tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumlah aset meningkat 1.8 peratus berbanding suku pertama kepada RM50.84 bilion, manakala deposit bertumbuh 0.22 peratus kepada RM35.68 bilion.

Kadar kos kepada pendapatan pula berada pada paras 24.01 peratus. 

Berkongsi pelan untuk anak syarikat utama, MBSB Bank Berhad, Nor Azam menyatakan MBSB akan mengekalkan strategi utama dengan memastikan struktur kos yang ketat yang membolehkan MBSB Bank melabur dalam peluang pertumbuhan dan memberikan pulangan lestari buat pemegang taruh.

“Kami prihatin terhadap sekatan kawalan pandemik yang mana banyak industri tidak dibenarkan beroperasi dan berpotensi menyebabkan impak serius kepada ekonomi. 

“Sebagai institusi kewangan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan perkhidmatan sebaik mungkin ketika masa sukar,” katanya.

MBSB Bank telah memperuntukkan RM1 bilion untuk skim CAKNA, inisiatif diterajui Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kewangan bagi menyediakan bantuan aliran tunai buat kontraktor yang membekalkan atau menyediakan perkhidmatan kepada kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI