fbpx

PERKESO bantu 8 beradik yatim piatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMED AZMAN (kanan) beramah mesra dengan sebahagian daripada waris Allahyarham Ben Yajeed Bernie yang menerima faedah dan bantuan daripada PERKESO di Bukit Beruntung semalam.

HULU SELANGOR – Lapan beradik yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 menerima bantuan da­ripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui faedah-faedah di bawah skim ke­selamatan sosial.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, selepas mendapat maklumat mengenai tragedi yang me­nimpa mereka pada 20 Julai lalu, Skuad PERKESO Prihatin segera mengambil tindakan proaktif dengan menyemak rekod caruman pasa­ngan terbabit.

“Allahyarham Ben Yajeed Bernie, 45, serta arwah Noraini Ibrahim, 43, yang meninggal dunia kerana Covid-19 merupakan pencarum PERKESO dan meme­nuhi syarat kelayakan faedah yang ditetapkan antaranya Faedah Pencen Penakat, Faedah Orang Tanggungan serta Faedah Pengurusan Mayat yang diberikan sebanyak RM4,000.

“Sehubungan itu, PERKESO memberi bantuan melalui faedah-faedah tersebut kepada lapan beradik tersebut iaitu Nazurah Nabilah, 19, Muhammad Muzakkir, 18, Nurhani Nabilah, 16, Numasuhah

Nabilah, 14, Muhammad Benjamin, 13, Muhammad Benazir Sulaiman, 10, Nur Rawdhah Nabilah, 8, dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 4,” katanya selepas melawat lapan beradik itu di Bukit Beruntung semalam.

Tambah Mohammed Azman, pihaknya turut menyerahkan bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) dan Kotak Prihatin kepada mereka.

“Arwah ibunya, layak untuk menerima FHUS sepanjang dirawat di hospital berikutan mangsa dijangkiti Covid-19 di tempat kerjanya.

“Kotak Prihatin pula merupakan sumbangan barangan ke­perluan harian kepada keluarga berkenaan,” ujarnya.

Jelas beliau, bayaran faedah tersebut akan dikreditkan ke akaun waris, anak sulung mereka iaitu Nazurah Nabilah.

“Bantuan faedah ini akan dibayar sehingga anak bongsu waris mencecah usia 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama,” tegasnya.

Sementara itu, Mohammed Azman menerangkan, Pencen Penakat adalah satu faedah dalam Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang layak dibayar kepada pencarum setelah meninggal dunia sebelum mencapai usia 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan.

Selain itu, Faedah Orang Tanggungan pula adalah faedah dalam Skim Bencana Pekerjaan yang dibayar kepada pencarum yang meninggal dunia akibat bencana pekerjaan, manakala bayaran tersebut dibuat kepada balu, duda, anak berusia bawah 21 tahun, ibu, bapa, adik-beradik, datuk atau nenek.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, PERKESO telah menyampaikan bantuan berjumlah RM11,117,702.96 di bawah Skuad PERKESO Prihatin dengan melibatkan sebanyak 11,713 kes.

“Kita tidak menunggu mereka, skuad ini akan mencari maklumat melalui media tempatan, orang ramai serta komuniti tempatan.

“Pejabat PERKESO seluruh negara sentiasa peka dan prihatin dengan isu semasa kerana kami sangat proaktif mengenal pasti dan memberi khidmat,” katanya.

Beliau berharap orang ramai sentiasa peka dengan bantuan yang disediakan PERKESO dan ambil tahu demi kesenangan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI