fbpx
SAMBUTAN Bulan Kemerdekaan perlu melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha menyemai ‘benih’ patriotisme dalam jiwa. – GAMBAR HIASAN

Ambil semangat merdeka hadapi cabaran hidup semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAN tahun, kita menyambut Bulan Kemerdekaan dengan penuh semangat bagi memperingati perjuangan generasi terdahulu menuntut sebuah negara merdeka daripada penjajah British.

Apa lebih penting daripada semangat ini adalah kita perlu bersatu dan berdiri teguh mengekalkan prinsip perjuangan sebenar bagi melepaskan belenggu kehidupan yang semakin mencabar pada masa ini.

Kita juga perlu mengadaptasi semangat kemerdekaan dalam menghadapi musuh yang tidak kelihatan iaitu pandemik Covid-19 agar sama-sama dapat mencari jalan keluar daripada wabak maut tersebut yang semakin hari semakin mengancam kehidupan manusia sejagat.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
DATARAN Merdeka dinamakan demikian kerana menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.

Laungan Merdeka! yang penuh magis oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, adalah anggaran dalam tiga pelaung dari lokasi Dataran Merdeka.

Trivia mudah ini bukan bertujuan untuk meremehkan sesiapa, sekadar penanda aras tahap penghayatan kita dan mereka yang dekat dengan kita tentang semangat merdeka yang sepatutnya sudah tercambah dalam diri.

Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan pada Ogos setiap tahun, semarak api kemerdekaan dalam jiwa rakyat Malaysia perlu dinyala dan dijaga sepanjang masa.

Inilah tanda penghargaan paling minimum terhadap perjuangan rakyat yang tidak pernah selesai, mengharungi pelbagai bentuk ancaman dan dugaan silih berganti.

Anasir subversif dan pengkhianatan, baik dari ‘dalam selimut’ atau dari luar sentiasa wujud dan mampu menyusup masuk pada bila-bila masa.

Maka, kita sebagai rakyat perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengelak daripada terlena dibuai mimpi yang menjadikan kita leka dan alpa.

Kita semua perlu bersatu dan berdiri teguh dengan mendukung prinsip perjuangan sebenar, agar betul-betul dikatakan merdeka daripada belenggu kehidupan zaman ini yang semakin mencabar.

Ini boleh dilakukan dengan menghayati dan mengambil iktibar daripada kisah-kisah pengorbanan dan perjuangan pahlawan kemerdekaan negara pada masa lalu.

Semoga dengan usaha kecil ini, kita lebih menyedari dan menghargai bahawa negara ini adalah tanggungjawab bersama, bukan membiarkannya diambil alih oleh tangan-tangan asing yang tentunya mempunyai agenda tersembunyi.

Pasrah dengan apa yang berlaku bukanlah pemahaman takdir yang tepat.

Allah mengingatkan kita di dalam ayat ke-11 , Surah Ar- Ra’d tentang mustahaknya elemen usaha dalam setiap perkara yang dilakukan, dan bagaimana bantuan-Nya hanya akan hadir setelah berusaha sehabis kudrat.

GENERASI muda perlu disemai dengan semangat merdeka dalam diri untuk terus maju dalam apa jua bidang pekerjaan. – GAMBAR HIASAN

Selain penjiwaan semangat kemerdekaan melalui penghayatan maknanya secara kendiri, satu lagi pendekatan yang mampu membantu mewarnai semangat kemerdekaan adalah melalui perlembagaan negara.

Sebagai elemen terpenting sebuah negara merdeka lagi berdaulat, ia seharusnya dijadikan prinsip dukungan oleh setiap warganegara bagi memastikan kita semua bersatu padu.

Penglibatan semua kaum dalam menjunjung dan mendaulatkan perlembagaan adalah perlu bagi memberi makna erti sebuah kemerdekaan.

Bermula dengan individu dan keluarga di rumah, diikuti anggota masyarakat, penghormatan tertinggi harus diberi kepada inti pati perlembagaan yang membantu memastikan keadilan itu hadir dalam setiap aspek kehidupan kita di bumi merdeka ini.

Tanpa junjungan perlembagaan yang betul, kehidupan kita tidak mungkin menjadi harmoni dan secara langsung telah menidakkan usaha para pejuang kemerdekaan yang mahu lari daripada kehidupan sengsara di era pramerdeka.

Selain itu, pelbagai aktiviti yang diadakan juga boleh dilaksanakan bagi menyemarakkan lagi erti kemerdekaan.

Pernyataan secara tersurat dan tersirat melalui pelbagai platform media, baik tradisional mahu pun terkini adalah kaedah terpantas untuk kita berusaha membaja semangat yang sedia tertanam dalam diri.

Biar pun di era pandemik, kita seharusnya lebih kreatif dan bijaksana dalam memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan.

Pemimpin masyarakat juga harus berganding bahu dalam usaha menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan dengan menunjukkan usaha ini adalah tanggungjawab semua komponen masyarakat, tanpa mengira kedudukan dan pangkat.

Mungkin juga pengiktirafan kepada tokoh-tokoh kemerdekaan, sama ada di peringkat tempatan, daerah, negeri, mahu pun nasional perlu diketengahkan supaya ia menjadi satu ikon yang akan diteladani dan dijadikan inspirasi generasi muda untuk diikuti jejaknya.

Makna perjuangan kemerdekaan itu juga boleh diubah menurut persepsi dan persetujuan masyarakat setempat, agar kita tidak ketinggalan untuk meraikan usaha setiap individu terbabit.

Kini kita sedang menghadapi ancaman musuh ‘halus’ iaitu Covid-19 yang handal menyusup dan berubah bentuk, selain kelihatan agak kebal dengan serangan awal sejak Mac 2020.

Malah seluruh dunia juga sedang berperang dengan musuh sama, ada menunjukkan sedikit kejayaan, ada yang masih merana.

Keadaan di Malaysia boleh dikatakan masih terkawal, biarpun laluan keluar daripada peperangan ini masih kabur.

Berbekalkan semangat juang dan semarak jiwa merdeka,diharapkan kita semua bertambah cekal dengan sama-sama berganding bahu untuk terus berusaha keluar daripadapandemik ini.

Dalam hal ini, cabar diri kita untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pejuang kemerdekaan terdahulu.

Biar pun senjata kita mungkin jauh berbeza dengan yang diangkat oleh mereka lebih enam dekad lalu, namun pastinya rasa cinta kita terhadap tanah air tetap sama.

Hiduplah rakyat Malaysia dengan semangat kemerdekaan dan penuh bermaruah. Teruskan berjuang dan selamat menyambut Hari Kemerdekaan.

———————————————————————————————————————
Dr. Khairi Ariffin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN