fbpx
Mohamad Syafiq (kiri) dibantu ahli keluarga dan sukarelawan Amal Team Rembau mengusung jenazah Norfazzlyana di Rembau semalam.

[VIDEO] Isteri ‘ditidurkan’ mengalir air mata dengar bisikan suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – “Saya bisik di te­linganya, saya akan kuat demi anak-anak. Air matanya mengalir seolah-olah dia faham,” luah Mohamad Syafiq Yacob, 31, suami mangsa Covid-19, Allahyarham Norfazzlyana Nezal, 29.

Wanita itu kemudiannya di­sahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi semalam.

Mohamad Syafiq berkata, arwah isterinya sebelum ini terpaksa melahirkan anak ketiga pada 20 hari lalu secara pembedahan pada usia kan­dungan 35 minggu di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Se­remban susulan bertarung nyawa akibat diletakkan dalam keadaan intubate.

Ujar penghantar barangan itu, isterinya disahkan positif Covid-19 bersama ibu mentua, Ramlah Omar, 62, dan anak ke­dua mereka, Sumayyah Saffiyah berusia 15 bulan pada 1 Ogos lalu.

“Pada mulanya mereka bertiga ke Klinik Kesihatan Gadong untuk tukar gelang tapi apabila diperiksa kandungan oksigen ibu mentua dan isteri, kandungan oksigen mereka berdua rendah.

“Mereka berdua dikejarkan ke HTJ. Kami sempat buat panggilan video sebelum isteri ditidurkan kali pertama dan masih terngiang-ngiang lagi di telinga saya apabila isteri meluahkan dia takut,” kongsinya ketika ditemui di Masjid Dr. Haji Mohammad Eusuff Teh, di sini semalam.

Ujarnya, selepas dua hari ditidurkan, petugas ke­sihatan nekad untuk menyelamatkan anak dalam kandungan isterinya.

“Saya anggap anak ketiga ini, Ummu Ufairah, 20 hari sebagai hadiah terakhir isteri untuk hari lahir saya pada 17 Ogos lalu.

“Macam mana sekali pun, saya kena kuat demi anak-anak. Sebelum ini semua orang tahu apa yang dihadapi oleh Shuib dan kini saya pula alaminya,” katanya.

Katanya, selepas ditidurkan isterinya itu ada tersedar selama dua hari.

GAMBAR kenangan Mohamad Syafiq dan Allahyarham Norfazzlyana bersama anak pertama dan kedua.

“Dengan bantuan doktor, kami dapat membuat panggilan video. Hari pertama sedar isteri masih lemah mungkin sebab ubat tidur, namun boleh memberi isyarat.

“Hari kedua pula nampak agak bertenaga, cuma doktor kata isteri macam tak cukup nafas.

“Saya lihat isteri macam mahu beritahu sesuatu mungkin hendak tengok bayi kami, namun anak ketiga ketika itu dijaga adik saya yang mempunyai pengalaman menjaga bayi pramatang,” katanya.

Wanita itu kemudiannya sekali lagi terpaksa ditidurkan dan kali terakhir mereka dapat membuat panggilan video adalah pada malam kelmarin dengan bantuan doktor.

“Memang nampak isteri dah nazak, saya bisik di telinganya, saya panggil nama penuhnya dan saya cakap saya akan kuat demi anak-anak, tiba-tiba air mata isteri mengalir seolah-olah dia faham,” ujarnya.

Dalam pada itu, ibu mentua Mohamad Syafiq turut meninggal dunia akibat Covid-19 di HTJ pada 6 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN