fbpx

Tuah tawaran ‘prank’ Elvina Chua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN ini sepatutnya pelakon Elvina Chua telah pun bergelar seorang isteri. Malangnya disebabkan pandemik Covid-19, hari bahagia yang dirancang berlangsung tahun lalu terpaksa ditangguhkan ke tahun hadapan.

Meskipun agak kecewa kerana segala persiapan sudah dilakukan, Elvina yang menjalinkan hubungan selama lima tahun dengan tunangnya iaitu seorang ahli perniagaan bagaimanapun pasrah dengan situasi semasa yang tidak membenarkan penganjuran sebarang acara termasuklah majlis perkahwinan.

“Sepatutnya majlis perkahwinan saya dilangsungkan pada Disember tahun lalu. Semua persiapan telah dibuat antaranya sesi fotografi praperkahwinan dan tempahan lokasi resepsi di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

“Sebagai manusia, saya hanya mampu merancang tetapi sebaliknya tuhan yang menentukan. Disebabkan kes Covid-19 naik begitu mendadak ketika itu, jadi saya tidak mahu mengambil risiko,” ujarnya.

Wanita berusia 30 tahun itu mendedahkan, meskipun perkahwinannya terpaksa ditangguhkan, dia tetap bersyukur kerana pandemik yang melanda banyak mengajarnya untuk lebih berjimat cermat.

ELVINA CHUA tidak menyangka penglibatan secara tidak sengaja dalam sebuah filem pendek membuatkan dirinya terus jatuh cinta dan kekal dalam dunia lakonan sehingga ke hari ini. Lima tahun berlalu, Elvina kini diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dalam filem pertamanya berjudul Ada Hantu.

“Secara jujur bagi saya dan tunang, kami mahu perkahwinan yang bahagia. Itu jauh lebih penting daripada sebuah majlis perkahwinan serba mewah. Memandangkan hampir dua tahun banyak projek yang tergendala, rasanya majlis perkahwinan kami akan menjadi lebih ringkas.

“Covid-19 banyak mengajar kita tentang kepentingan menyimpan dan berjimat cermat. Kami tetap akan berkahwin cuma enggan membazir untuk perkara yang tak perlu.

“Lebih baik saya menyimpan wang demi masa depan berbanding menggunakan segala simpanan untuk sebuah majlis resepsi serba mewah. Sebab kita tidak tahu sampai bila pandemik akan berakhir,” jelas Elvina.

Pelakon itu turut ditebak tentang keistimewaan si tunang sehingga membuatkan pintu hatinya terbuka untuk mendirikan rumah tangga.

“Ketika mengenalinya, saya baru saja memulakan karier lakonan dan ini tahun kelima kami bersama. Dia seorang yang selalu menyokong setiap apa yang saya lakukan dan sangat mengambil berat.

“Pernah terjadi di lokasi penggambaran telefon bimbit saya tiada isyarat. Mungkin kerana bimbang, dia menghubungi dan hantar mesej kepada hampir semua kru penggambaran yang dikenali (ketawa).

“Sikapnya membuatkan saya rasa selamat dan terus membuka hati untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hubungan iaitu perkahwinan,” kongsi Elvina.

JIKA majlis perkahwinannya tidak ditunda, mustahil Elvina terlibat dengan filem Ada Hantu kerana tarikh perkahwinannya yang dirancang berlangsung pada Disember tahun lalu sama dengan tarikh penggambaran naskhah berkenaan.

Tawaran disangka ‘prank’

Menyambung semula tentang kisah penundaan majlis perkahwinannya, jelas Elvina, terdapat hikmah di sebalik apa yang berlaku. Menurutnya, andai majlis tersebut berlangsung seperti yang dirancang, dia tidak mungkin akan terlibat dalam filem pertama yang mengangkatnya menjadi pelakon utama iaitu Ada Hantu.

“Penggambaran filem Ada Hantu berlangsung pada Disember tahun lalu, sama tarikh dengan majlis resepsi yang tertunda itu. Perancangan Tuhan begitu cantik, sebaik perkahwinan ditunda saya mendapat tawaran untuk berlakon dalam filem Ada Hantu,” tuturnya.

Bercerita lanjut tentang filem tersebut, Elvina yang membawakan watak Sasha menjelaskan, dia terkejut dan seakan-akan tidak percaya apabila menerima tawaran berlakon dalam karya seram berkenaan daripada pengarahnya sendiri iaitu aktor Hairul Azreen.

Malah ketika Hairul menghubunginya menerusi kiriman mesej dalam Instagram, Elvina menyangka itu semua hanyalah satu gurauan atau ‘prank’ selain berasakan akaunnya mungkin telah digodam.

“Saat membuka mesej daripada Hairul, saya cukup terkejut. Saya tidak percaya dan menyangka itu hanyalah ‘prank’ atau mungkin akaun Instagram digodam (ketawa). Selepas saya dihubungi Hairul menerusi telefon dan mahu mengadakan pertemuan tentang tawaran filem Ada Hantu, saya cukup berdebar.

“Sebab ini merupakan filem pertama saya sebagai pelakon utama, sebelum ini hanya watak sampingan. Jadi, sudah tentu saya terkejut dan teruja. Ketika bertemu Hairul, saya bertanya kepadanya mengapa memilih saya sedangkan ramai lagi pelakon berbangsa Cina yang lebih popular dan berpengalaman.

“Dia kata ini adalah rezeki saya. Dia yakin saya mampu membawakan watak Sasha dengan baik. Selain itu, Hairul kata saya terpilih kerana mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih dan mahukan wajah baharu untuk filem pertama arahannya,” kata Elvina.

Berbalik kepada bicara tentang filem Ada Hantu, pelakon yang memulakan karier seni selepas memenangi Miss International Yachting Pageant 2013 Malaysia itu berkata, penggambaran selama dua minggu di sebuah banglo terletak di Pulau Carey, Selangor berlangsung dengan begitu lancar.

Meskipun Hairul pertama kali duduk di kerusi pengarah, aktor filem Paskal itu berjaya menggalas tugasnya dengan baik.

“Jujur pada mulanya saya agak risau kerana berbanding dengan semua pelakon utama lain, saya yang paling kurang pengalaman lakonan. Zahiril Adzim misalnya, dia memang dikenali sebagai pelakon yang bagus, jadi saya berasa sangat kerdil di situ.

“Tetapi hubungan kami seperti sebuah keluarga sepanjang menghabiskan masa di set penggambaran. Kami jadi rapat dan lebih mudah tonjolkan persahabatan di depan kamera, langsung tidak berasa kekok. Hairul juga seorang pengarah yang sangat baik dan tidak garang.

“Jika lakonan kami tidak mencapai tahap yang diinginkan, dia akan akan memanggil kami ke tepi dan bercakap dengan baik. Tidak marah-marah atau kasar, saya amat selesa dengan caranya,” luah Elvina.

Filem Ada Hantu sudah ditayangkan menerusi platform penstriman Disney+ Hotstar bermula 13 Ogos lalu.

Selain Elvina, naskhah yang merupakan idea asal oleh Andrian Teh berkenaan turut dibintangi oleh Zahiril, Shiqin Kamal, Nafiez Zaidi dan juga Hairul.

FILEM Ada Hantu merupakan filem pertama yang mengangkat Elvina selaku pelakon utama.

Karier

Menyentuh tentang perjalanan seninya, pelakon yang memulakan langkah seni dengan syarikat pengurusan bakat Metrowealth International Group (MIG) itu berkata, tiga tahun pertamanya sebagai anak seni bermula agak perlahan.

Pun begitu, Elvina yang lebih fasih berbahasa Melayu berbanding Mandarin bersyukur ramai rakan seindustri membantu mempromosikan bakatnya kepada pengarah dan penerbit selepas dia mula bergerak tanpa syarikat pengurusan.

“Saya tidak sangka ramai rakan membantu mempromosikan saya dari mulut ke mulut. Mereka membantu saya untuk terus bertahan dalam industri lakonan. Syukur tahun ini saya mendapat begitu banyak tawaran lakonan.

“Malangnya, banyak projek terpaksa ditunda dan ada yang dibatalkan akibat pandemik. Tahun ini, selain filem Ada Hantu, saya juga terlibat dalam drama Kampung Baru Danial dan Jamu Nesan bersama Darkwave Pictures Sdn. Bhd. yang akan memulakan penggambarannya dalam masa beberapa hari saja lagi,” kongsi Elvina.

Biarpun bermula sebagai pelakon secara kebetulan ketika membintangi sebuah filem pendek seorang sahabatnya, kini cinta pelakon itu terhadap dunia seni semakin menebal dan hatinya mendakap erat karier lakonan.

Tidak lagi sekadar ingin mencuba, tegas Elvina, dia kini memandang serius dan menyimpan impian yang tinggi untuk masa depannya dalam industri lakonan.

“Terlibat dalam projek, produksi, pengarah dan pelakon berbeza banyak mematangkan saya dan mengubah minda secara total. Dahulu rasa popular itu sangat penting kerana saya melihat setiap orang bersaing.

ELVINA memulakan langkah seni dengan syarikat pengurusan bakat Metrowealth International Group (MIG).

“Kini, selepas bertambah usia dan mengenali ramai orang berpengalaman dalam industri seni, saya lebih mementingkan nilai selaku seorang pelakon berbanding populariti. Saya mahu melihat sejauh mana diri sendiri mampu pergi dalam dunia seni terutama dengan membawa watak yang berbeza.

“Andai dapat anugerah, itu satu bonus. Tetapi buat masa ini saya mahu fokus untuk tingkatkan diri seiring dengan pengalaman sebagai pelakon. Impian saya juga untuk bergelar seorang pelakon yang boleh menjadi suara kepada golongan yang sebelum ini suara atau pandangan mereka tidak didengari,” tutur Elvina panjang lebar mengenai visinya sebagai pelakon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI