fbpx

Wanita saman RM3 juta tiga individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi didakwa melakukan pandu uji kenderaan di Auto City, Juru di Bukit Mertajam baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Wanita yang dikaitkan dalam kejadian tular berhubung kes pandu uji kenderaan membabitkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor semasa Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini memfailkan tuntutan saman kepada tiga pihak sebanyak RM3 juta.

Nini Siron atau nama sebenarnya Hanini Siron menuntut masing-masing RM1 juta daripada Setiausaha Politik Muhammad Sanusi iaitu Afnan Hamimi Taib Azamudden, Mohamad Solhi Mohd. Sharif dan Harakahdaily.

Notis tuntutan itu turut meminta kesemua mereka memohon maaf kepada Nini Siron dalam tempoh 48 jam termasuk dibuat secara terbuka di laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram.

Peguamnya, Faizal Rahman berkata, tuntutan itu adalah sebagai ganti rugi atas tindakan buli siber, penghinaan, mendapat nama buruk, tekanan emosi dan pencerobohan data peribadi serta privasi yang dialami anak guamnya.

Selain itu menurutnya, mereka juga dituntut berhenti membuat kenyataan lanjut mengenai anak guamnya dan memadam semua komen menyinggung perasaan dari platform media.

“Surat tuntutan itu telah dihantar pada 13 Ogos lalu namun kami tidak mendapat maklum balas sehingga kini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu Nini Siron menerusi kenyataan media di Facebooknya hari ini sekali lagi menegaskan isu yang dibangkitkannya berhubung keberadaan Menteri Besar Kedah dalam kes terbabit adalah tulen, munasabah dan jauh sekali fitnah.

Namun katanya, kenyataan dan hantaran pihak-pihak tersebut telah menyebabkannya dihujani komen-komen negatif, kritikan yang teruk, kebencian, gangguan termasuk gangguan seksual serta ancaman daripada pihak ketiga yang asing dan tidak dikenali.

“Sehubungan dengan itu, saya telah mengarahkan peguamcara saya Tetuan Faizal Rahman & Co. mengeluarkan suatu notis tuntutan kepada pihak-pihak tersebut yang perlu ditangani segera menurut notis tuntutan tersebut.

Sekiranya pihak-pihak tersebut gagal untuk memenuhi terma-terma di dalam notis tuntutan tersebut, saya tidak akan teragak-agak untuk mengarahkan peguamcara saya meneruskan sebarang tindakan undang-undang bagi memperbaiki dan/atau melindungi kepentingan dan/atau reputasi saya dan keluarga,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI