KALI ini Mitos membawakan cerita seram enam pelatih Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan) yang diganggu bunyi seretan rantai besi di dorm tempat mereka diletakkan ketika menjalani latihan tersebut pada tahun 1999.
Pada mulanya, seorang rakan mereka terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi seretan tersebut dan berhenti selepas itu.
Apa yang menyeramkan, di dorm tersebut pada ketika itu hanya mereka berenam sahaja yang tinggal.
Kesemua mereka mendengar seretan itu serentak pada suatu senja menjelang waktu maghrib selepas pulang daripada latihan.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
SEKITAR bulan April 1999, beberapa pelatih mengikuti kursus Ketua Platun di salah satu Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan) di utara tanah air.
Ia adalah kursus kerjaya bagi pegawai simpanan.
Kebiasaannya kursus dihadiri kira-kira 30 pegawai berpangkat Leftenan Muda dan Leftenan.
Bagaimanapun pada sesi kali ini, kehadiran peserta sangat menggalakkan apabila 82 orang pegawai sukarela dari seluruh negara hadir mengikutinya.
Menurut seorang peserta kursus yang ingin dikenali sebagai Zaki, disebabkan jumlah yang ramai, mereka dibahagikan tempat penginapan mengikut kapasiti yang ada disediakan pihak Wisma Perwira atau dikenali juga sebagai Mes Pegawai.
Kesemua mereka diletakkan di dua blok bangunan yang terletak bertentangan antara satu dengan lain, hanya dipisahkan dengan satu kawasan tanah lapang.
Sepertimana bangunan satu lagi, blok yang dihuni Zaki bersama lima rakan pegawai lain mempunyai dua dorm, tetapi cuma satu digunakan, manakala dorm di sebelahnya berkunci. Bilik air dan tandas pula terletak di hujung blok.
Mereka yang tinggal bersama Zaki di blok itu ialah Syamsul, Fendi, Azman, Nizam dan Amrin yang kesemuanya berpangkat Leftenan Muda.
Kata Zaki, keadaan dalam dorm ini tidak banyak beza dengan kebanyakan berek kem tentera lama yang pernah dihuninya sebelum ini.
Disebabkan letaknya jauh sikit daripada bangunan satu lagi, keadaan di blok itu agak sunyi walaupun pada waktu siang.
Kursus ketua platun yang berlangsung selama sebulan sarat dengan kelas teori dan amali termasuk menjalani dua latihan peperangan.
Sebagai kursus taktik, masa peserta sangat terhad kerana turut menjalani aktiviti fizikal lain menyebabkan masa di bilik hanya untuk tidur.
Pada satu malam, semasa sedang mengulang kaji latihan untuk keesokan hari di bilik, Nizam memberitahu bahawa dia ada terdengar bunyi orang berjalan seperti dalam keadaan menyeret sesuatu benda berat. Katanya, bunyi itu kedengaran di luar bilik.
“Masa itu tengah malam, semua sudah tidur. Aku terjaga tiba-tiba bila dengar ada bunyi orang berjalan. Gayanya menyeret benda yang berat macam rantai besi,” cerita Nizam bersungguh-sungguh.
Mereka masing-masing berpandangan bagaimana pun tidak mengambil berat cerita tersebut, apatah lagi keletihan menyebabkan ada perkara lebih penting untuk difikirkan.
“Biarlah bunyi tu, lain kali kalau dengar kau jeritlah tanya siapa nama boleh berkenalan. Mana tahu boleh dapat jawapan masa ujian nanti,” celah Amrin.
Pada satu petang selepas latihan, mereka berlima keluar ke pekan Tambun untuk membeli barang keperluan dan meninggalkan Azman yang tidur kerana tidak mahu menggangunya.
Sebaik pulang ke bilik kira-kira pukul 10 malam, Azman yang berbaring di katil marah kerana tidak mengajaknya sekali.

Rupa-rupanya, kira-kira pukul 9 malam semasa berbaring, Azman terdengar bunyi orang berjalan seperti dalam keadaan menyeret benda berat, sama seperti mana diceritakan Nizam beberapa hari sebelumnya.
Katanya, bunyi itu kedengaran mundar- mandir menyeret besi dari arah kanan blok kediaman menuju ke tandas dan berpatah balik. Ada ketikanya bunyi itu berhenti sebelum berjalan semula.
Mereka tidak berkata apa-apa, hanya minta maaf sahajalah pada Azman kerana tidak mengajaknya keluar. Bermula saat itu, mereka menggelarkan bunyi misteri tersebut sebagai seret dan menganggapnya sebagai biasa.
Tambahan pula mendiami sebuah blok kediaman lama di kem tentera menyebabkan perkara misteri seperti itu memang terjadi, cuma bergantung terkena kepada siapa.
Selepas itu, ada sekali bunyi seretan kedengaran pada waktu senja semasa mereka tiba di bilik selepas latihan datangnya dari arah dorm yang berkunci, tetapi cuma seketika.
Rupa-rupanya, itu bukan yang terakhir kerana Syamsul mendengar bunyi seretan itu semasa di bilik air tiga malam kemudian.
Waktu itu pukul 11 malam dan katanya, bunyi seretan rantai kedengaran berjalan setapak demi setapak dari tepi bilik air selama kira-kira satu minit.
“Mulanya aku dengar bunyi seperti orang dalam bilik air sebelah sebab nampak kelibat seseorang memakai tuala berwarna hijau. Tapi tak ada pula dengar bunyi air sebelum dengar bunyi seret.
“Benda tu pula macam tahu aku seorang diri dalam bilik air,” ceritanya.
Dia yang merupakan anak jati Ipoh berkata, kemungkinan kawasan Tambun termasuk tapak kem itu dulunya bekas lombong bijih timah.
“Cerita orang dahulu, buruh lombong bijih menerima layanan buruk. Mereka dijaga oleh tauke dan ada yang menjadi korban diseksa dan dibunuh kejam termasuk diikat rantai pada kaki.
“Ramai buruh mati tak berkubur. Mana tahu, mungkin bunyi seret yang tuan-tuan dengar tu jelmaan buruh lombong,” ujarnya.
—————————————————————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.















