HYUNDAI Kona membuat kemunculan sulungnya pada tahun 2017 sebelum kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam segmen B itu dilancarkan.
Sejak dilancarkan di peringkat global, model ini mempunyai 13 variasi enjin termasuk petrol, diesel, hibrid dan elektrik dengan seleksi kapasiti enjin mengikut pasaran jualan.
Di Malaysia, Hyundai Sime Darby Motors (HSDM) hanya menawarkan dua enjin iaitu 2.0 liter dan 1.6 liter turbo yang menggunakan petrol.
Empat bulan lalu, HSDM telah melancarkan Hyundai Kona enjin 2.0 liter versi yang dipertingkatkan, Kona Active.
Terbaharu pada minggu lalu, HSDM telah melancarkan pula model Kona 1.6 liter dengan enjin turbo Smartstream G1.6 T-GDi yang menawarkan dua varian iaitu Kona N Line dan Kona Turbo.
Kedua-dua SUV ini dijangka akan menjadi pilihan pembeli yang suka akan gaya hidup aktif kerana rekaan dan karakter yang tersendiri.
Memandangkan perbezaan paling ketara pada model-model terbaharu ini ialah pada kuasa penggeraknya, kita mulakan dengan mengupas mengenai enjin turbo itu yang berkerjasama dengan transmisi dua klac tujuh kelajuan.

Gabungan tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 198PS pada 6,000rpm dan tork maksimum 265Nm pada 1,600 hingga 4,500rpm.
Penulis difahamkan, penggunaan teknologi Smartstream menawarkan prestasi dinamik yang lebih lancar dan pengalaman pemanduan lebih selesa di samping penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan.
Dari sudut rekaan luaran pula, kedua-dua varian mempunyai kelainan. Kona N Line yang harganya lebih tinggi menampilkan reka bentuk yang lebih sporty dan progresif mirip varian-varian prestasi N.
Bampar depannya pula bersatu secara harmoni dengan badan jentera dan pelindung gerbang roda menerusi penggunaan warna sama.
Varian N Line juga berciri aerodinamik gaya khas N dengan sirip sudut rendah untuk memberikan penampilan lebih menyerlah.
Bampar belakangnya pula menggabungkan rekaan aerodinamik dengan warna kontras.
Penggunaan rim aloi istimewa dengan rekaan menarik bersaiz 18 inci juga menjadikan imej SUV ini lebih tegap.
Sementara itu, varian Kona Turbo pula berkongsi reka bentuk luaran dan dalaman yang sama dengan varian 2.0 liter Kona Active yang baharu, kecuali penawaran bumbung dan warna badan dua tona yang eksklusif bagi varian 1.6 Kona Turbo.

Mengenai reka bentuk luaran Kona Turbo, ia memiliki reka bentuk bahagian hadapan yang menarik dengan panel pelindung, lampu DRL LED nipis dan lebar serta gril tengah yang lebih luas.
Bampar hadapannya juga bersambung ke pelapis lengkungan roda sekali gus membentuk perisai yang unik dan kuat.
Di bahagian belakang pula, lampu belakang agak tirus untuk menonjolkan gaya tersendiri.
Masuk ke ruang kabin, bahagian dalaman Kona N Line dilengkapi dengan pakej warna N Line khusus dengan penggunaan material kulit hitam. Ia disempurnakan dengan fungsi tempat duduk berventilasi yang boleh dihangatkan iaitu bagi tempat duduk pemandu dan penumpang depan.

Selain itu, jahitan merah, pedal logam dan logo N pada gear, stereng dan tempat duduknya, kesemua elemen itu menyumbang kepada penampilan yang lebih sporty.
Kedua-dua varian Kona itu juga menampilkan rekaan dan susun atur baharu menyerupai Kona 2.0, termasuk konsol baharu, kluster digital 10,25 inci di samping skrin AVN berukuran lapan inci dengan sambungan Bluetooth,
Android Auto serta Apple CarPlay dan sistem pengecasan tanpa wayar.
Varian-varian itu juga diserikan dengan lampu persekitaran berteknologi baharu yang akan menerangi pemegang cawan tengah serta ruang kaki penumpang dan pemandu.
Sebagai alternatif bagi bahagian dalamannya yang serba gelap, Kona Turbo juga menawarkan pilihan kerusi berwarna beige terang agar nampak luas dan mewah.
Kedua-dua varian baharu ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri seperti Hyundai Smartsense Active Safety, Blind-Spot Collision Avoidance Assist (BCA), Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA), Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), Smart Cruise Control dengan fungsi berhenti dan teruskan pemanduan.

Selain itu, ia dilengkapi sistem Forward Collision Avoidance Assist (FCA), Driver Attention Warning (DAW), Leading Vehicle Departure Alert (LVDA), Rear Occupant Alert (ROA), Safe Exit Warning (SEW) dan High Beam Assist (HBA).
Pembelian Kona disertakan dengan jaminan selama lima tahun atau 300,000 kilometer (mengikut mana yang lebih dahulu) dan tiga tahun atau 50,000km (mengikut mana yang lebih dahulu) bagi perkhidmatan penyelenggaraan percuma.
Tempahan boleh dibuat secara dalam talian melalui platform beli-belah, www.hyundai.com.my/clicktobuy/ atau hubungi pengedar Hyundai bertauliah.
















