fbpx
Tengku Zafrul

Indikator kadar kes bergejala dibuat ikut nasihat pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pengunaan indikator baharu Pelan Pemulihan Negara (PPN) iaitu bilangan kes kemasukan hospital baharu bergejala sebagai penentuan peralihan negeri Fasa 1 ke fasa seterusnya dibuat berdasarkan nasihat pakar kesihatan serta pengalaman antarabangsa dan domestik.

Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia dibuat dengan penelitian bahawa risiko penularan Covid-19 menurun seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi penduduk dewasa.

“Indikator ini hanya akan menggantikan indikator sedia ada iaitu bilangan kes Covid-19 harian baharu apabila vaksinasi sesebuah negeri di dalam Fasa 1 telah mencapai kadar sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dengan memberi contoh Lembah Klang yang meliputi Selangor dan Kuala Lumpur, Tengku Zafrul berkata, peralihan ke Fasa 2 PPN hanya boleh berlaku jika nilai ambang kes kemasukan hospital baharu bergejala dicapai dengan kadar 6.1 per 100,000 penduduk.

Beliau berkata, peralihan fasa bagi Lembah Klang yang kini masih di Fasa 1 PPN juga akan turut mengambil kira tahap kapasiti penggunaan unit rawatan rapi (ICU) berstatus ‘Sederhana’.

“Apabila mereka (Lembah Klang) mencapai kadar vaksinasi sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa, indikator kes yang akan diguna pakai ialah kes kemasukan hospital baharu,” katanya yang turut menyenaraikan empat negeri Fasa 1 lain iaitu Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Melaka sebagai contoh sama dalam peralihan fasa berkenaan. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

POPULAR