fbpx
Gambar hiasan.

Kes jangkitan cecah 24,000 pertengahan bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jangkaan Malaysia akan mencapai 24,000 kes jangkitan harian Covid-19 pada pertengahan September ini mungkin dicapai lebih awal berdasarkan dengan jumlah positif yang semakin menaik ketika ini.

Jumlah itu boleh menjadi ke­nyataan pada pertengahan bulan ini berdasarkan kes jangkitan harian yang direkodkan semalam melebihi 20,000 kes.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, andaian itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk bacaan kadar kebolehjangkitan (RT) semasa.

“Pada Rabu lalu, unjuran RT semasa ialah pada kadar 1.07 dengan angka jangkitan seba­nyak 19,819 kes dan tidak mustahil ia mampu mencecah 24,000 kes lebih awal berikutan nilai RT sejak tiga hari lalu kekal sama.

“Peningkatan itu turut disumbangkan oleh mereka yang degil pulang ke kampung di Kelantan ketika Aidiladha lalu dan ke­sannya dapat dilihat sekarang. Ini adalah fakta seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya kepada Kosmo!.

Dalam pada itu, Dr. Hanafiah tidak menolak kemungkinan krisis politik yang berlaku di Malaysia bakal meningkatkan lagi jumlah jangkitan kerana fokus kerajaan untuk melawan wabak sedikit terganggu.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hi­sham Abdullah menjangkakan negara akan mencapai 24,000 kes jangkitan harian Covid-19 pada pertengahan September dengan kadar RT pada ketika itu seba­nyak 1.2.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail turut menjangkakan peningkatan kes drastik sekiranya tidak terus dikawal secara menyeluruh.

“Dahulu kes merebak secara kontak rapat dan kita boleh mengawalnya, tetapi kini melalui udara dan ia lebih sukar. Kita tidak tahu siapa yang menyebarnya kerana ia (virus) berada di sekeliling kita,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN