fbpx
PATI yang berjaya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, malam tadi.

155 PATI ditahan dalam dua serbuan di Tawau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU – Seramai 155 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Kilang Jalan Tanah Merotai dan Batu Lima Kampung Kilang Cermin, Jalan Kinabutan malam tadi.

Dalam Operasi Patuh Bersepadu yang bermula pukul 12 tengah malam itu, seramai 182 orang telah menjalani pemeriksaan awal.

Menerusi jumlah berkenaan, hanya 155 individu ditahan membabitkan 49 lelaki dan 67 wanita dewasa serta 39 kanak-kanak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, semua yang ditahan berusia antara satu tahun sehingga 77 tahun.

“Semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.

“Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan pendatang tanpa izin memasuki atau tinggal dalam premis yang diselia dan diurus mereka.

“Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd membabitkan 98 anggota dan pegawai dari kedua-dua agensi.

“Ia diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Razman Manap @ Maznan daripada Unit Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Tawau,” katanya dalam kenyataan media hari ini. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

POPULAR

BERITA BERKAITAN