KUANTAN – Seorang wanita melalui dugaan yang amat besar apabila bukan sahaja terpaksa bersalin tanpa ditemani suami tetapi terpaksa menerima kenyataan suami pergi buat selamanya akibat Covid-19.
Yasmin Ibrahim, 32, bersalin anak sulung awal pagi kelmarin, manakala suaminya, Eko March Handoko Masyhur, 30, meninggal dunia akibat Covid-19 pada 7.51 pagi sehari sebelum kelahiran anak sulungnya.
Ibu Yasmin, Norhayati Yaakob, 58, berkata, meskipun dugaan itu berat buat anak sulungnya yang baru sahaja menimang cahaya mata tetapi dia yakin anaknya itu kuat menerima ketentuan Ilahi.
“Saya ada bercakap dengannya melalui telefon memanglah dia sedih kehilangan orang tersayang dan saya menasihatkannya bahawa itu adalah ujian dan mengingatkannya sentiasa ingatkan Allah kerana ada orang lain yang lebih berat dugaannya.
“Dia masih berada di hospital selepas melahirkan anak dan menyatakan akan balik dan tinggal dengan saya,” katanya yang tinggal di Indera Mahkota 2 di sini semalam.
Menurut Norhayati, anaknya bekerja sebagai ahli farmasi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan baru dua tahun berkahwin dan tinggal tidak jauh daripada rumahnya.
Ujarnya, suami Yasmin bekerja sebagai seorang ahli geologi mula mengalami gejala selepas pulang dari Lipis beberapa hari sebelum raya Aidiladha.
“Pada mulanya arwah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Gambang sebelum dibawa ke HTAA Kuantan selepas mengalami sesak nafas.
“Semasa di hospital anak saya hanya dapat membuat panggilan video dan arwah ada tanya mengenai cadangan doktor untuk menidurkannya dan dia berserah kepada Allah,” ujarnya.
















