fbpx

Elak jangkitan, umat Islam meninggal Covid-19 tidak dimandikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jenazah umat Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak perlu dimandikan kerana dibimbangi wabak akan terus tersebar dan menjangkiti orang lain.

Perkara itu dijelaskan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-600: Adakah mereka yang meninggal kerana Covid-19 boleh diklasifikasikan mati syahid dan tidak perlu dimandikan, yang dikeluarkan hari ini di laman web PMWP.

Menurut PMWP, jenazah tidak dimandikan atas faktor keselamatan selain mengelak daripada kemudaratan berikutan ada kebimbangan wabak Covid-19 terus tersebar.

“Ini bermakna jenazah tersebut tidak dimandikan bukan di atas sebab syahid berperang di jalan Allah akan tetapi disebabkan kemudaratan yang perlu dihindari.

“Bagaimanapun, ia juga tertakluk kepada perkembangan semasa situasi Covid-19 di negara ini yang mana pihak-pihak berkaitan akan meneliti dari semasa ke semasa prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah,” katanya.

Menurut artikel itu lagi, orang Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 dikategorikan sebagai syahid di akhirat dan ganjaran tersebut akan diberikan di akhirat kelak.

“Bagaimanapun, dalam fiqh ada dibincangkan oleh fuqaha bahawa mana-mana jenazah atas sebab-sebab tertentu yang boleh membawa mudarat kepada orang hidup maka tidak perlu dimandikan tetapi ditayamumkan.

“Dan jika tayammum pun tidak dapat dilaksanakan pada pandangan pakar maka gugurlah kedua-dua tuntutan itu,” katanya. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN