fbpx

Mahu jadi bijak atau sebaliknya, itu pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN / AFP

KECENDERUNGAN melibatkan diri dalam sesebuah perbincangan atau isu semasa, terutama dalam media yang menjadi perhatian ramai memang sukar untuk dihalang.

Sama ada ketagihan, keperluan berbuat demikian atas nama tugas serta tanggungjawab, terujaan berkongsi pendapat demi kebaikan bersama, jenama diri atau sekadar mengisi timeline untuk menjadi sebahagian daripada golongan yang serba faham isu semasa, semua itu terpulang.

Setiap individu mempunyai hak mutlak atas soal pengendalian dan penjenamaannya dirinya dalam media sosial. Contohnya, seorang guru menjadikan media sosial yang intim dengan khalayaknya untuk berbahagi ilmu, selain hal-hal seharian.

Begitu juga suri rumah dengan masakan dan bebelannya terhadap program televisyen atau jiran buat bising malam-malam buta main lesung batu, itu hak mereka.

Bertahun-tahun media sosial menjadi sebahagian daripada kita semua, namun memasuki fasa akhir tahun 2021, rasanya tidak perlu lagi kita menampakkan kebodohan sendiri untuk dikenang saat mati hanya kerana gemar mengisi kandungan media sosial dengan pendapat sembrono,

Niat untuk tampil dengan identiti, ideologi atau pendirian sendiri itu bagus, tetapi pendekatan menjatuhkan, saling mengeji atau menambahkan kecelaruan dengan hujah yang kononnya pandai, lebih hebat atau lebih serba tahu dengan tahap diri yang sudah diketahui umum, adalah satu hal yang sungguh memualkan.

Itu juga antara dilema yang dihadapi dalam dunia kewartawanan hiburan ketika ini. Sungguh, menjadi penulis hiburan yang sentiasa perlu ‘celik’ dengan perkembangan artis yang gemar mencelah secara sembrono, mengupas hal politik dan perubatan negara melangkaui kepakaran dirinya adalah sesuatu yang sangat memenatkan.

Hendak diketepikan, isu tengah tular. Hendak diambil serius, terfikir sendiri tentang rasional dan bakal terseret dengan hal yang mudah dianggap merepek.

Itu antara dilema yang sedang menjadi makanan dan justifikasi setiap kali muncul golongan selebriti yang mudah berkongsi apa sahaja pandangan di hujung jari, namun saat kenyataannya dikutip dan menjadi kecaman, mulalah dia menuding jari menyalahkan banyak orang.

Hujungnya nanti, wartawan dan editor sesebuah penerbitan jugalah yang dipersalahkan. Dalam masa sama, media tetap menjalankan tugasnya pelapor dan netizen juga ada pendapatnya untuk terus mengkritik secara bijak atau mengherdik secara sebaliknya, itu pilihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI