fbpx

Jangan gunakan Ivermectin seperti paracetamol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Orang ramai dinasihatkan agar jangan membahayakan diri sendiri dengan menggunakan produk Ivermectin untuk tujuan rawatan dan pencegahan Covid-19 tanpa pengawasan daripada doktor.

Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS), Dr. Pramjit Singh berkata, ini kerana pil Ivermectin bukan sejenis ubat yang boleh digunakan tanpa pengawasan pakar kesihatan seperti pil paracetamol yang banyak diambil oleh rakyat negara ini.

“Ada laporan yang menyatakan orang ramai menyalahgunakan Ivermectin dengan membeli dan mengambilnya sendiri tanpa pengawasan daripada doktor.

“Ubat ini merbahaya diambil jika tiada pengawasan, kita kena patuhi garis panduan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung penggunaan Ivermectin ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Perikatan Malaysia Untuk Kawalan Covid Berkesan (MAECC) menggesa kerajaan mempercepatkan kelulusan penggunaan Ivermectin selepas ubat itu tergolong dalam kategori ubat-ubat penting sebagai alternatif terbaru dalam mengekang wabak Covid-19.

Urusetia MAECC, Kapten Dr. Wong Ang Peng berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah lama memasukkan Ivermectin dalam senarai ubat-ubat penting bagi mengawal penularan wabak itu.

Menurut Pramjit, tiada data klinikal bagi membuktikan keberkesanan penggunaan Ivermectin dalam rawatan mahupun pencegahan wabak itu.

“Kita tidak boleh bahayakan diri sendiri dengan mengambil ubat yang masih belum ada data klinikal yang sahih.

“Hanya pakar perubatan bertauliah mempunyai protokol sama ada mahu menggunakan Ivermectin ke atas pesakit Covid-19 atau tidak,” katanya.

Tambahnya, penggunaan Ivermectin perlu dipantau oleh doktor sepanjang pengambilannya memandangkan produk ini mempunyai kesan sampingan jika diambil secara berterusan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI