fbpx

PMKS catat rugi RM40.7 bilion tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sektor PMKS berharap kerajaan mengkaji segera pelaksanaan untuk membuka sektor ekonomi sepenuhnya dengan segera. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Malaysia mencatat kerugian berjumlah RM40.7 bilion tahun lalu daripada sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) ekoran penutupan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah ini adalah kerugian terbesar yang ditanggung oleh sektor berkenaan dan menunjukkan bahawa perusahaan tersebut terjejas teruk kerana tidak dapat beroperasi.

Menurut beliau, melihat kepada jumlah syarikat PMKS yang berdaftar sebanyak 1.5 juta di seluruh negara kini, kerugian tersebut telah membayangkan bahawa setiap syarikat mencatat penurunan dalam pendapatan sebanyak RM35,000 pada tahun 2020.

“Situasi ini akan memberi kesan kepada aspirasi negara untuk meningkatkan sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan nilai eksport masing-masing kepada 50 peratus dan 30 peratus menjelang tahun 2030 di bawah Dasar Keusahawanan Nasional.

“Penutupan ekonomi bukan jawapan kepada masalah tersebut. Kita perlu menerima hakikat bahawa kita perlu hidup dalam suasana pandemik ini dan seharusnya kita perlu mencari penyelesaian yang seimbang.

Gambar hiasan

“Disebabkan faktor itu juga, kementerian telah mencadangkan agar kerajaan mempercepatkan pembukaan aktiviti ekonomi khususnya dalam kategori bukan penting,” katanya dalam kenya­taan.

Selain itu, MEDAC dalam kaji selidik yang dilaksanakan pada 15 Jun hingga 28 Jun lalu berhubung impak PKP 3.0 kepada landskap perniagaan di Malaysia mendapati bahawa lebih daripada 70 peratus peniaga berada dalam kategori B40 yang ke­tiadaan simpanan dan tidak memiliki manfaat pekerjaan.

Kaji selidik yang turut melibatkan seramai 6,604 responden dari seluruh negara itu juga memaklumkan bahawa lebih daripada 90 peratus peniaga tidak memiliki insurans dan 70 peratus daripada mereka juga tiada pelan kecemasan.

“Sektor PMKS terlibat secara langsung kepada rakyat, kegagalan dalam bidang ini akan turut menjejaskan landskap sosio ekonomi negara dan juga kepada komuniti,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI