fbpx
PKRC Maeps

Polis siasat pelbagai aspek isu ceroboh PKRC Maeps

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Polis akan melakukan siasatan terperinci mengenai pencerobohan enam petugas media daripada pelbagai agensi memasuki ke kawasan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), tanpa kebenaran pada Isnin lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ini termasuk sama ada berlaku kelonggaran kawalan keselamatan dan individu yang membawa masuk kesemua petugas media tersebut.

Katanya, enam petugas media itu didapati memasuki kawasan itu secara serentak dengan hanya memakai pelitup dan pelindung muka sahaja tanpa sebarang peralatan perlindungan diri (PPE).

“Itu (PKRC) tempat larangan dan orang yang masuk perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pengurusan di situ. Tambahan, PKRC Maeps telah diisytiharkan dan diwartakan sebagai pusat kuarantin dan rawatan penyakit berjangkit sejak 6 Disember tahun lalu.

“Kalau saya sendiri pergi PKRC sekalipun perlu meminta kebenaran untuk memasuki kawasan itu. Inikan pula wartawan dan tidak kira siapa pun,” katanya pada sidang akhbar secara maya hari ini.

Menurut beliau, PKRC itu mempunyai tiga zon iaitu hijau, kuning dan merah dengan petugas media telah memasuki zon kuning yang kebanyakannya adalah pesakit kategori ketiga dan keempat berdasarkan laporan dilakukan pihak pengurusan Maeps pukul 4 petang semalam.

“Mereka ini telah menceroboh kawasan larangan dan membahayakan diri sendiri selain orang ramai.

“Apabila mereka masuk berkemungkinan membawa virus keluar dan tidak tahu sejauh mana telah kontak rapat dengan orang lain atau rakan media lain. Pihak pengurusan Maeps sendiri telah menyatakan tiada kebenaran diberikan kepada petugas media itu,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya akan memanggil kesemua petugas media terlibat dalam masa terdekat namun tidak menyatakan dari mana agensi-agensi media tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan rakaman keterangan kepada 17 kakitangan kementerian kesihatan adalah berhubung isu pencerobohan dan bukan berkaitan hartal doktor kontrak.

“Rakaman percakapan ini penting bagi mendapatkan maklumat dan siasatan kita. Kalau rakam percakapan salah, saya pun tidak tahu hendak belajar dari dunia mana lagi untuk siasat.

“Berkenaan isu rakam keterangan sehingga pukul 3 pagi disebabkan doktor bertugas pukul 8 pagi hingga 8 malam. Kita pun ada hati perut dan menggunakan waktu bertugas mereka untuk diambil keterangan secara bergilir dengan kebenaran pengurusan Maeps. Justeru, jangan jadikan itu sebagai isu dan memutarbelitkannya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE.

POPULAR