Arab Saudi umum kuota sejuta jemaah bagi tahun 2022. - AFP

Kos mengerjakan umrah cecah RM9,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Umat Islam di negara ini yang berhajat untuk mengerjakan ibadah umrah di­jangka perlu membayar kos yang lebih tinggi berbanding biasa apabila pintu sempadan di Arab Saudi mula dibuka untuk jemaah antarabangsa pada 10 Ogos ini.

Berdasarkan situasi semasa dan jangkaan wujudnya beberapa caj baharu, seorang jemaah yang ingin ke Tanah Suci pada musim pandemik ini perlu membayar kos sekitar RM9,000.

Bagaimanapun, penetapan harga baharu itu masih belum dimuktamadkan dan hanya diandaikan berdasarkan beberapa caj tambahan yang perlu ditanggung oleh jemaah termasuk ujian calitan Covid-19.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan pakej umrah mungkin mencecah sehingga RM4,000 seorang.

Katanya, harga pakej standard bagi mengerjakan umrah sebelum ini adalah sekitar RM5,000 hingga RM6,000 seorang, namun kos baharu bagi pakej yang sama untuk tempoh 10 hari selepas ini mungkin mencecah RM9,000.

“Peningkatan kos meliputi jangkaan harga tiket penerbangan sekitar RM3,200 selain anggaran kadar visa melebihi RM1,000 berbanding sebelum ini hanya sekitar RM300.

“Bila digabungkan semua kos-kos berkenaan termasuk kos penginapan dan kuarantin, ia mungkin mencecah RM9,000 seorang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Nasional Haji dan Umrah Arab Saudi yang bersedia menerima jemaah antarabangsa yang telah lengkap divaksin bermula 10 Ogos ini.

Syarat mandatori bagi jemaah yang mahu mengerjakan umrah pada tahun ini ialah mereka perlu menerima vaksin lengkap dua dos sama ada Pfizer, Mo­derna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson.

Arab Saudi turut membenarkan jemaah yang menerima vaksin buatan China seperti Sinovac, namun perlu mendapat suntikan dos ketiga daripada vaksin yang diluluskan mereka.

Ketika ditanya mengenai jangkaan masa jemaah Malaysia boleh mengerjakan umrah, Razali memberitahu, tempohnya mungkin pada hujung tahun ini.

“Buat masa ini, tiada apa-apa perkembangan terkini daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Imigresen berhubung kebenaran itu.

“Bagaimanapun, melihat kepada situasi kes Covid-19, kebenaran itu mungkin diperoleh menjelang bulan November atau Disember nanti,” ujarnya.

Arab Saudi akan membenarkan ibadah umrah kepada jemaah antarabangsa bermula 10 Ogos ini.

Pengerusi Andalusia Travel & Tour Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Ngah pula mahu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi reaksi segera berhubung kebenaran Arab Saudi itu.

“Apa yang kita harapkan, walaupun kerajaan belum membenarkan rakyat ke luar negara, tetapi perancangan pelancongan perlu dibuat segera supaya memudahkan agensi untuk menguruskan jemaah nanti.

“MOTAC juga perlu mendapatkan perincian Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung SOP yang dikenakan se­perti bayaran levi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif melakukan beberapa persiapan awal sebagai persediaan menghantar jemaah sejurus kebenaran diterima.

“Andalusia sudah membayar RM4 juta untuk kos penginapan kepada pihak hotel di Arab Saudi selain tempahan penerbangan bersama Malaysia Airlines.

“Apabila kebenaran dite­rima, kami bersedia menghantar kira-kira 14,000 jemaah yang kini ­hanya menunggu giliran ke Ta­nah Suci,” ujarnya.

Dalam pada itu, tinjauan ­Kosmo! mendapati, rata-rata umat Islam di negara ini tidak kisah dengan kenaikan harga pakej umrah itu kerana ia telah dijangka ramai pihak.

Menurut seorang eksekutif perhubungan awam, Badrul Hisham Wahab, 57, dia sehingga kini masih bersemangat untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci biarpun hajat itu telah tertangguh sejak setahun lalu.

“Kalau ada kenaikan harga disebabkan Covid-19 seperti bayaran untuk kuarantin dan sebagainya, saya akur dan sedia membayarnya asalkan dapat ke Tanah Suci,” katanya.

 

Kerajaan masih tunggu perincian SOP ibadah umrah

PUTRAJAYA – Kerajaan perlu menunggu perincian khusus berkaitan prosedur operasi standard (SOP) umrah daripada Arab Saudi sebelum mengeluarkan sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, kerajaan juga akan segera memaklumkan SOP ber­kenaan ibadah itu sebaik mendapat maklum balas dari Arab Saudi.

“Buat masa ini, kita masih belum dapat maklum balas berhubung SOP umrah daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Sebaik ia diperoleh nanti, Insya-Allah akan diuar-uarkan,” katanya ringkas kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Zulkifli, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memperincikan SOP berkenaan ibadah di Tanah Suci khususnya dalam menggariskan peranan syarikat pengendali umrah.

“MOTAC selaku kementerian yang mengawal selia pengendalian pakej umrah atau ziarah berperanan melihat aspek SOP bagi kedua-dua negara.

“Kementerian itu juga akan melihat hal-hal kebajikan jemaah Malaysia semasa mengerjakan umrah apabila pihak kerajaan bersedia membenarkan semula pelaksanaan ibadah itu,” katanya.

Terdahulu, portal Gulf News melaporkan ibadah umrah akan dibuka semula kepada jemaah antarabangsa bermula 10 Ogos ini berikutan kelancaran musim haji tahun ini yang selesai dengan jayanya.

Bagaimanapun, Konsul Jene­ral Malaysia di Arab Saudi, Alauddin Mohd. Nor dilaporkan berkata, Arab Saudi setakat ini belum mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi berhubung ibadah itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN