fbpx
Gambar hiasan.

Covid-19 kini berada di mana-mana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kes pertama Covid-19 di Malaysia disahkan pada 25 Januari tahun lalu membabitkan tiga warga China yang memasuki negara melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari tahun lalu.

Sejak itu, penularannya di negara ini terus mencatatkan pe­ningkatan secara berperingkat.

Bagi membendung pandemik itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama telah dilaksanakan di seluruh negara selama 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac tahun lalu.

Setelah genap 18 bulan Co­vid-19 melanda negara dan pelbagai siri PKP terpaksa dilalui rakyat bagi mengekang penularan virus itu, kini jumlah keseluruhan jangkitan telah melebihi satu juta iaitu 1,013,438 kes sehingga semalam.

Angka itu sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-30 negara paling banyak mencatatkan kes Covid-19 di dunia.

Untuk rekod, Malaysia pernah berjaya mencatatkan cuma satu kes jangkitan harian pada 1 Julai 2020, namun kadar jangkitan kembali meningkat selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 diadakan pada September 2020.

Kewujudan kluster-kluster besar dan pelbagai varian baharu Covid-19 termasuk varian Delta yang kini menakutkan telah menyumbang tercetusnya gelombang jangkitan koronavirus.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya. Dr. Yahya Mat Arip berkata, angka keseluruhan kes Covid-19 yang sudah melebihi sejuta itu me­nunjukkan bahawa negara kini dalam keadaan getir.

Menurutnya, ia juga menandakan bahawa jangkitan Covid-19 kini sangat meluas dan sesiapa sahaja berisiko untuk dijangkiti.

“Kes jangkitan harian juga te­lah mencecah lima angka selama beberapa hari berturut-turut. Kita terpaksa menghadapi kea­daan ini dan tidak boleh berada dalam sindrom penafian.

“Kita juga tidak lagi boleh kata keadaan Covid-19 di Malaysia adalah terkawal, sebaliknya perlu mengambil tindakan yang le­bih berkesan dalam menurunkan kes jangkitan harian.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan untuk menjaga diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Anggaplah sahaja apabila keluar rumah, kita berpotensi untuk dijangkiti Co­vid-19,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Yahya berkata, harapan yang tinggal kini dalam memerangi Covid-19 adalah selepas majoriti penduduk Malaysia diberi dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, untuk mencapai penurunan yang ketara mungkin perlu mengambil masa kerana jangkitan sudah terlalu meluas.

Yahya juga mengingatkan bahawa golongan yang dijangkiti Covid-19 selepas divaksin perlu dipantau.

“Mereka memang berisiko rendah, tidak bergejala teruk jika dijangkiti, tetapi pada masa sama, mereka ini masih boleh menjangkiti orang lain.

“Jika kita gagal mengenal pasti mereka ini untuk diarahkan supaya menjalani kuarantin, maka bilangan kes akan terus meningkat,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri memberitahu, pandemik Co­vid-19 kini sudah berada di mana-mana sahaja.

Jelas beliau, perkara itu perlu ditekankan, bukannya untuk menuding jari atau menakut-nakutkan sesiapa, tetapi sebagai peringatan kepada semua supaya lebih berhati-hati.

“Bagaimanapun, kita perlu lihat juga pada kadar sembuh yang sangat tinggi. Maka apa yang penting adalah setiap individu perlu memainkan peranan menjaga diri dan mematuhi SOP,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN