fbpx

Stres boleh rosakkan mental dan fizikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tekanan emosi sering berlaku jika seseorang ‘terkurung’ dalam tempoh yang lama di rumah akibat PKP. – GAMBAR HIASAN
SYED MOHD. HAZIQUE SYED NOR
WARTAWAN EKSEKUTIF

STRES boleh didefinisikan sebagai keadaan resah, cemas, tegang disebabkan tekanan mental atau fizikal.

Seperti semua sedia maklum, tahap stres yang dihadapi oleh individu berbeza-beza mengikut beban tekanan yang dihadapi.

Sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas boleh mengalami stres.

Bagaimanapun, stres yang berlebihan untuk jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani akan menyebabkan kesan negatif selain memudaratkan kesihatan serta meningkatkan risiko terhadap penyakit.

Seseorang individu itu boleh menghadapi stres atau tekanan ini melalui pelbagai cara tanpa mereka sedari.

Malah, ada juga antara mereka yang tidak menyangka mengalami masalah stres walaupun dilihat seperti seorang yang bebas tanpa tekanan.

Menurut Pakar Kesihatan, Dr. Mazni Fathinah Nabilah Mazlan, faktor persekitaran individu menjadi penyumbang utama kepada tahap stres seseorang.

“Seperti semua sedia maklum mengenai penularan pandemik, banyak individu yang terkesan seperti kehilangan kerja, tiada pendapatan dan ahli keluarga atau diri dijangkiti Covid-19, ini antara punca persekitaran.

“Perkara ini tidak boleh di­ ­­e­lak­kan dan seseorang individu itu juga boleh bertindak di luar jangkaan kerana stres melampau. Sebab itu ada yang mencari jalan akhir dengan bunuh diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Jelas Mazni, akibat stres, seseorang individu itu boleh menghidapi penyakit seperti anxiety dan panic pada tahap yang membimbangkan.

“Stres bukan satu perkara yang boleh diambil ringan, di kala negara berhadapan dengan pandemik ini, perkara ini merupakan satu isu serius yang wajar diberi perhatian oleh semua pihak.

“Kita tidak tahu apakah cabaran yang mereka hadapi, namun apa boleh dibuat, sokongan ahli keluarga atau orang terdekat dapat memainkan peranan besar dalam membantu emosi individu,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkata, antara cara terbaik untuk me­rawat stres ialah menggunakan kaedah pendekatan psikososial.

“Persekitaran, orang sekeli­ling perlu mengambil maklum dengan individu yang mengalami stres ini.

“Keluarga, suami dan isteri, anak-anak malah rakan-rakan perlu saling memberi soko­ngan positif di atas satu sama lain dalam menghadapi stres ini ditambah lagi menghadapi pandemik,” katanya.

Tambah Shazli, individu boleh cuba memulakan hobi digemari bagi mengawal tekanan emosi yang melanda kehidupan.

“Bila melakukan hobi yang digemari seperti bersenam, ia dapat memberikan kecergasan fizikal di samping otak yang cerdas untuk membuatkan individu itu berfikir dengan lebih tenang.

“Akhir sekali, sudah semestinya amalan kerohanian dengan cara memohon doa daripada Allah untuk memberikan kekuatan dalam kita menghadapi segala cabaran serta dugaan hidup yang mendatang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI