fbpx

Tiga rakan terlepas hukuman gantung, tuduhan edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD ABDUL RAHMAN, Mohd. Fadzil dan Yusri menzahirkan rasa gembira selepas dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah, tiga tahun lalu. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Tiga rakan terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepaskan dan membebaskan mereka atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh, Muhammad Abdul Rahman, 37; Mohd. Fadzli Abd. Razak, 44, dan Yusri Awang, 38.

Katanya, tertuduh pertama dan kedua iaitu Muhammad dan Mohd. Fazli ditahan di luar kereta ketika enjin masih dihidupkan manakala tertuduh ketiga iaitu Yusri ditahan polis selepas selesai membayar saman di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.

“Tertuduh ketiga tetap berjalan menuju ke kereta walaupun terdapat ramai orang di sana. Ini menunjukkan dia tidak mengetahui terdapat dadah didalam kereta tersebut.

“Selain itu, keterangan saksi pendakwaan keenam adalah lemah apabila gagal menyiasat secara menyeluruh kemungkinan kereta tersebut pernah diakses oleh orang lain. Ini kerana kesemua tertuduh ditahan di luar kereta yang diparkir dalam keadaan tidak berkunci.

“Pendakwaan turut gagal membuktikan dadah yang terdapat di laci papan pemuka adalah milik ketiga-tiga tertuduh kerana tiada kesan asid deoksiribonukleik (DNA) dan cap jari pada dadah berkenaan. Oleh itu mahkamah berpuas hati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mencapai niat bersama telah mengedar dadah berbahaya iaitu methampetamine seberat 162.35 gram.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.55 tengah hari di tempat letak kenderaan hadapan pejabat JPJ Bukit Katil dalam daerah Melaka Tengah pada 1 Februari 2021.

Sabit kesalahan kesemua tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh diwakili peguam Ramzani Idris, M. Haresh, Asmawi Ismail dan Andrew Lourdes manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abdul Rahman Sidik.

Seramai enam saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI