fbpx
NAIM DANIEL dan Fendy Bakry.

Terkedu, kecewa angka Covid-19 melonjak lebih 11,000 kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Perkara yang dibimbangi orang ramai iaitu peningkatan ketara kes Covid-19 daripada empat angka kepada lima angka dalam tempoh seminggu ini akhirnya menjadi kenyataan.

Hari ini sahaja, sebanyak 11,079 kes harian dicatatkan dengan menunjukkan kes tertinggi di Selangor iaitu sebanyak 5,263 kes.

Terkedu dan tidak tak mampu berkata apa-apa lagi, penyanyi Naim Daniel menyuarakan kekesalan, bahkan kecewa masih banyak sektor perkilangan yang menjadi punca peningkatan kes dibenarkan beroperasi.

“Sekarang saya masih dalam misi nak hantar barang keperluan kepada yang memerlukan. Tapi berhenti sekejap, sebab rasa sangat-sangat terkejut dan tak tahu nak rasa macam mana.

“Lebih 11,000 kes hari ini. Kita semua sedia maklum perkara yang patut dilakukan ke atas sektor-sektor tertentu yang perlu ditutup, dikekang dan disekat untuk sementara waktu. Tapi keputusannya masih mengecewakan seluruh rakyat Malaysia.

“Khasnya video ini untuk anda semua terutama kepada pentaksub dan penzalim. Jika anda berasakan ini sesuatu yang baik dan beri keselesaaan, itu maknanya anda pembunuh dan pembuli pekerja barisan hadapan. Celikkan mata dan hati. Maaf, ini sudah melampau,” ujarnya dalam nada suara yang bergetar menerusi sebuah video dalam Instagramnya petang tadi.

Naim sebelum ini cukup lantang bersuara isu kepincangan berkaitan politik dan kepimpinan negara yang disifatkan gagal dalam mengawal penularan Covid-19.

Perkara sama turut diluahkan pelakon Fendy Bakry yang menyifatkan segala pengorbanan rakyat yang mengikut arahan berkurung dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) selama ini seolah-olah hanya sia-sia.

“Bila dikatakan #kerajaangagal, ya mereka menafikan yang mereka masih belum gagal. Tapi hari demi hari dengan sistem ‘lockdown’, kes semakin naik.

“Kita sebagai rakyat memberi kepercayaan kepada pihak kerjaan untuk melakukan sesuatu supaya sedikit sebanyak kes dapat dikurangkan. Tapi apa yang diharapkan, hanya habuk yang dapat,” luahnya.

Pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu juga turut meluahkan rasa sayu melihat pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa manusia setiap hari.

“Dekat stadium saja dah 4,000 orang beratur sampai keletihan ‘frontliner’ kita. Bergelimpangan mereka tidur. Penambahan katil di tempat-tempat parkir kereta.

“Tak mustahil ada juga ‘frontliner’ yang letak jawatan. Pak menteri, orang lain pun ada juga anak isteri dan keluarga. Jangan terlalu pentingkan diri. Andai Agong boleh ambil alih kan bagus. Rakyat terus ke Agong, untuk masa sekarang,” ujarnya. – K! ONLINE

POPULAR