fbpx
TANGKAP layar (kanan) hantaran Suhaimi yang mencetuskan kemarahan ramai.

Suhaimi Saad persenda kematian, keluarga Allahyarham lapor polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Tindakan penyanyi, Suhaimi Saad mempersenda kematian seorang individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 mengundang padah apabila keluarga Allahyarham membuat laporan polis, semalam.

Anak Allahyarham Datuk Zulkefli Nordin, Amalina Farhana dalam perkongsiannya mendedahkan beberapa individu termasuk lelaki terbabit menfitnah pemergian ayahnya dengan mendakwa ia berpunca daripada kesan suntikan vaksin.

“Yang meninggal tu arwah ayah saya. Kami sekeluarga telah pun buat laporan polis. Arwah baru meninggal semalam (kelmarin) dan golongan ini masih lagi mengganggu keluarga kami.

“Tindakan susulan akan dibuat kepada pemfitnah. Mohon laporkan kalau jumpa,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Terdahulu, menerusi satu status yang dimuatnaik di Facebook, Suhaimi dilihat memanjatkan rasa bersyukur dengan pemergiaan individu yang bernama Zulkefli Nordin akibat virus berkenaan.

“Dia dah mati. Alhamdullah. Allah bayar cash (tunai). Kalau Allah bayar cara hutang lagi berat,” tulisnya yang turut disertakan tangkap layar mengenai suntikan vaksin yang diterima Allahyarham pada 13 Jun lalu.

ALLAHYARHAM Datuk Zulkefli Nordin

Tindakan yang disifatkan biadab dan tidak sensitif itu turut mendapat kecaman ramai malah seorang lagi anak Allahyarham bernama Ain menegur kenyataan fitnah Suhaimi di laman sosialnya.

“Assalamualaikum Mosus (Suhaimi). Masih basah lagi kubur abah kami, baru selamat dikebumi pagi tadi (kelmarin). Tiadakah simpati kepada kami sekeluarga wahai saudara Islam ku?

“Saya cuba menahan emosi daripada muatnaik status ini tetapi saya gagal. Saya percaya abah (ayah) saya tiada hutang dengan kamu apatah lagi kenal kamu. Kami kenal dia, tahu baik buruk dia. Siapa kita nak menghukum.

“Tuduhan dia meninggal dunia disebabkan vaksin ini adalah amat berat. Tolong jangan libatkan abah kami dengan penyebaran fahaman tuan. Cukuplah apa yang terjadi pada kami,” luahnya.

Pada masa sama, Ain turut menyatakan rakan ayahnya meminta mereka untuk menutup akaun Facebook arwah bagi mengelakkan fitnah terus berleluasa namun mereka belum mampu berbuat demikian.

“Ada kawan abah mohon kami tutup FB abah bagi elakkan orang menabur fitnah lagi. Fitnah apa kami masih belum faham. Maaf kamu belum mampu sebab kat situ banyak kenangan untuk kami tengok balik aktiviti abah.

“Bagi saya, mulut manusia memang susah nak tutup daripada mengata. Sedangkan nabi yang sudah tiada dihina, apa lagi abah kami. Jagalah bahasa, jagalah adab masing-masing Mosus,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi yang juga suami kepada Ina Naim dilihat membalas status berkenaan mengatakan sudah memadam status berkaitan Allahyarham tetapi tetapi menyerahkan kepada pihak keluarganya andai ingin meneruskan tindakan lanjut.

Sebelum ini, bekas anggota Inteam itu pernah menegaskan kekal dengan pendirian enggan menerima vaksin Covid-19. – K! ONLINE

BERITA BERKAITAN