fbpx

Media sosial alat tarik pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEDIA sosial menjadi platform terbaik untuk menarik pelanggan.-Gambar hiasan

PRODUK kosmetik atau kecantikan merupakan satu contoh terbaik industri tempatan yang semakin berkembang pesat di Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun selalu menghadapi cabaran hebat oleh pelbagai jenama dan produk antarabangsa, jenama tempatan dapat menunjukkan perkembangan positif yang menjanjikan melalui kualiti dan harga kompetitif serta strategi pemasaran dan penjenamaan yang baik.

Trend ke arah jenama dan produk tempatan terus berkembang pesat dan ini adalah sesuatu yang membanggakan negara.

Jika kita amati sekitar 2020, banyak jenama produk kecantikan tempatan mendapat responden amat positif di pasaran.

Pengguna lebih memilih untuk menggunakan produk tempatan kerana didorong oleh peningkatan konsep dan kualiti yang dilihat semakin baik, selain harganya yang agak berpatutan.

Ini menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat terhadap jenama dan produk tempatan semakin meningkat.

Justeru, strategi yang tepat diperlukan dari segi inovasi, akses mudah untuk membeli serta pemasaran dan penjenamaan untuk mendorong pertumbuhan lebih besar.

Dalam mendepani perkembangan ini, sokongan daripada pasaran digital termasuk penggunaan media sosial merupakan satu inisiatif positif bagi menyokong perkembangan perusahaan kosmetik tempatan.

Untuk itu, syarikat-syarikat pemasaran dalam talian perlu terlibat dengan lebih aktif bagaimana untuk
membantu perkembangan barangan tempatan, terutamanya produk kecantikan untuk bersaing dengan
produk berskala antarabangsa.

Kesedaran dan kecenderungan pelanggan untuk memilh produk kecantikan tempatan pada masa ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengeluarnya.

PRODUK kecantikan tempatan kini semakin menjadi pilihan pengguna.-Gambar hiasan

Ia boleh dilakukan dengan mempromosi jenama mereka dengan lebih kreatif, bukan sahaja secara tradisional, malahan platform maya seperti Facebook, Instagram dan bermacam medium media sosial lain.

Usaha tersebut harus dilipatgandakan terutama di era sekarang yang segala-galanya terdapat di hujung jari.

Pada hakikatnya, penggunaan media sosial untuk membina keutuhan jenama tempatan harus ada kombinasi antara ‘sosial’ dan ‘media’, bukan hanya media, mesti ada juga dibangunkan daripada
sudut sosial.

Kaedah ini juga merupakan kombinasi penting dalam mewujudkan kelebihan daya saing yang membezakan jenama tempatan daripada pesaing antarabangsa mereka.

Kunci untuk menarik perhatian masyarakat tempatan adalah dengan membuat kandungan atau maklumat menarik yang dapat dihubungkan dan dikongsi bersama antara kualiti, jenama dan harga.

Dalam hal ini, untuk memikat hati pelanggan dengan produk tempatan, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan.

Sebagai jenama tempatan, ia perlu ditampilkan dengan penuh kebanggaan serta kualiti produk yang tidak kalah dengan jenama-jenama lain yang ada di pasaran.

Untuk itu, kajian perlu dilakukan untuk mengetahui arah aliran semasa perbualan masyarakat dalam membuat strategi komunikasi yang relevan bagi produk yang mendapat perhatian ramai.

Di samping itu, jangan lupa untuk menekankan secara konsisten kelebihan produk yang dihasilkan sesuai dengan keperluan masyarakat Malaysia serta daya saing yang tidak kalah dengan jenama antarabangsa yang sudah tersohor sejak sekian lama.

Untuk memperkenalkan jenama tempatan dengan baik kepada masyarakat umum, strategi komunikasi
yang matang dan tepat kepada sasaran amat diperlukan.

Sebelum melangkah lebih jauh, tentukan segala program, kandungan, kempen dan promosi tentang produk tidak mengelirukan pengguna.

Selain itu, kreativiti juga diperlukan untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan di tengah persaingan yang semakin sengit pada masa ini.

Sekiranya ia mempunyai pembungkusan yang menarik, ciri-ciri jenama dapat kekal di hati orang.

Perubahan situasi dan keadaan persekitaran yang terus berkembang dalam masyarakat memerlukan setiap aktiviti perniagaan tempatan berinovasi dan menyesuaikan diri sebaiknya.

Selain terus membuat produk yang memenuhi minat dan keperluan masyarakat, jenama tempatan juga harus terus memperluas jangkauan jenama yang ada dengan menggunakan teknologi terkini.

Dengan menambahkan saluran penjualan melalui platform dalam talian dan penggunaan pembayaran digital, jenama tempatan akan berada lebih dekat dengan masyarakat tempatan yang semakin ‘digital’.

Ringkasnya, dengan ekuiti jenama yang positif, pelanggan bersedia membayar harga tinggi
untuk produk tempatan yang mereka kenal dan kagumi, walaupun mereka tahu pesaing dapat mengenakan bayaran lebih rendah.

—————————————————————————————————————————————
Penulis ialah Afizan Amer, Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI