fbpx
ALENA MURANG

Menari terapi Alena tangkis rasa negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALENA MURANG merupakan satu nama yang cukup dikenali dalam kalangan peminat seni kebudayaan dan muzik.

Bergelar penyanyi dan penari, gadis berusia 32 tahun ini mempunyai cara tersendiri dalam mempromosikan budaya kepada khalayak dunia menerusi alat muzik tradisional iaitu sape yang terkenal di negeri kelahirannya, Sarawak.

Anak kacukan Kelabit daripada bapanya, Ose Murang dan Inggeris-Itali daripada ibunya, Valerie Mashman itu baru me­lancarkan video berjudul Spirit Warrior pada Mei lalu dan memenangi anugerah Video Muzik Asia Pasifik Terbaik di United Kingdom.

Namun, siapa sangka di sebalik kisah kejayaannya, Alena pernah dilanda masalah kemuru­ngan. Ikuti temu bual Kosmo! Ahad untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisahnya.

Kosmo! Ahad: Bagaimana dengan perkembangan aktiviti seni Alena?
Alena: Bekerja di musim Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya mencabar kerana proses merakam video dilakukan sendiri dan memakan masa yang lama.

Alena boleh bermain sape sejak 20 tahun lalu. Boleh kongsi pengalaman?
Sape ini mudah untuk dipelajari, namun susah untuk menjadi mahir. Paling sukar adalah elemen yang tidak boleh diajar seperti stail ornamentasi kerana setiap pemain harus mempunyai identiti yang tersendiri.

ALENA memilih untuk menceburi bidang seni kerana minat yang mendalam biarpun menuntut dalam bidang pengurusan di universiti.

Ceritakan latar belakang pendidikan Alena?
Saya belajar dalam bidang pengurusan di United Kingdom dan berkecimpung dalam kerjaya korporat selama hampir lima tahun sebelum menyertai dunia seni secara sepenuh masa sejak 2016.

Siapakah individu yang menjadi rujukan Alena?
Guru sape saya ialah pak cik Mathew Ngau. Saya selalu bertanya mengenai ejaan, perkataan dan kisah sejarah kepada bapa, ibu dan nenek saudara serta emak yang juga merupakan ahli antropologi yang banyak mengkaji kaum Kelabit dan Kenyah di Borneo.

Apakah definisi cinta bagi Alena?
Memahami bahawa tiada seseorang pun yang sempurna.

Sudah berapa lama tidak pulang ke kampung halaman?
Saya sudah me­netap di Kuala Lumpur selama 10 tahun. Saya pulang ke Sarawak tahun lalu, namun perlu menjalani kuarantin dan hanya dapat meluangkan masa dengan keluarga terdekat sahaja.
Paling dirindui kampung halaman di Long Peluan, Ulu Baram. Tahun lalu, saya merancang untuk balik menolong keluarga menuai padi, tetapi tidak kesam­paian.

Berkenaan isu mental, pada pandangan Alena mengenainya?
Secara peribadi apabila memikirkan hal yang negatif, tertekan atau risau, saya akan melakukan senaman kardiovaskular. Bagi saya ia membantu fikiran kita supaya menjadi tenang. Sekiranya tidak melakukan aktiviti fizikal, saya berdoa atau meluangkan masa berbual-bual de­ngan orang tersayang.

Alena cukup dikenali dalam kalangan peminat seni kebudayaan dan muzik.

Secara peribadi, sekiranya mahu berkongsi, adakah Alena pernah berdepan masalah ini?
Sebenarnya saya sendiri pernah mengalami kemurungan. Ia telah lama berlaku dalam hidup saya. Namun, kini saya telah bangkit.

Bagaimana Alena mena­nganinya?
Saya melihat senaman mempunyai banyak kebaikan. Saya bukan seorang yang aktif tetapi senaman seperti menari, aerobik, joging dan berenang membawa banyak perubahan positif kepada minda dan mood saya. Saya gembira melakukan semua aktiviti tersebut.

Bagaimana cara kita boleh membantu mereka yang berdepan masalah emosi dan mental?
Kita perlu sentiasa peka de­ngan orang yang berada di sekeliling sama ada mereka adalah jiran atau rakan. Selalu bertanya khabar ahli keluarga dan sahabat terutamanya di musim pandemik yang semakin mencabar ketika ini.

Apa pandangan Alena me­ngenai kempen kibarkan bendera putih?
Ia merupakan satu inisiatif yang amat baik dan mencerminkan semangat tolong menolong sesama kita rakyat Malaysia tanpa mengharapkan balasan.
Inilah sikap pahlawan yang mempunyai semangat kasih sa­yang utuh dan bertarung demi kebaikan.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN